Layangan Warkah buat Ibu
Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Ke hadapan ibu yang dicintai kerana-Nya,
Cempaka masih ingat wajah ibu saat melihat Cempaka pertama
kalinya. Gembira. Teruja. Cempaka bertukar tangan ke dalam pelukan ibu, Cempaka
turut merasakan bahagia. Hangatnya pelukan ibu buat Cempaka berbangga menjadi
pilihan ibu.
Bila tiba di rumah, barulah ibu meletak nama secara serius
pada Cempaka. Kata ibu, ibu mahu susun atur nama anak-anak ibu mengikut turutan
abjad. Setelah Abang Afiq mengambil huruf A dan B, Cempaka mengambil huruf C
dan D pula. Maka, jadilah nama Cempaka Dahlia.
Semenjak hari itu, ibu jadi begitu rapat dengan Cempaka.
Segala cerita, rahsia, ibu kongsikan dengan Cempaka. Hampir setiap malam, kalau
ibu tak bisa melelapkan mata, ibu akan menceritakan kisah-kisah menarik atau
peringatan ringkas pada Cempaka dan Abang Afiq.
Cempaka ingat lagi kisah tentang singa, permintaan abang
Afiq. Untuk Cempaka pula, ibu kisahkan tentang kecantikan. Kata ibu, kerana
lazimnya perempuan sukakan kecantikan. Maka, segala kisah berkaitan kecantikan ibu
ceritakan. Tapi, ibu pesan, kecantikan taqwa itu yang dinilai disisi Tuhan.
Pernah suatu hari, ada sesuatu yang mengusik hati ibu. Ibu
membawa Cempaka erat dalam pelukan ibu. Tak semena-mena, ibu menangis. Ibu
nampak sangat letih. Air mata yang berjuraian itu mungkin menenangkan hati ibu.
Basah tangan Cempaka pun tak mengapa, kalau itu yang membelai hati ibu.
Cempaka jadi tahu tabiat ibu. Kalau ibu sedih, ibu mesti
letak Cempaka atas dada ibu lalu ibu peluk kuat. Telinga pula ibu sumbat dengan
earphone. Satu lagu yang begitu dekat dengan hati ibu tika itu, ibu
ulang-ulang. Lagu Perpisahan Ini salah satunya. Ibu ulang sampai keluar air
mata. Kali ini, Cempaka tak basah. Sebab air mata ibu mengalir kena pada
bantal. Bantallah yang basah. Ibu, kenapa ibu bersedih?
Pagi-pagi, ibu selalu letak Cempaka atas riba, mengaji
Al-Quran. Cempaka sukakan suasana itu. nyaman dan tenang. Damainya cuaca ditambah
hangatnya pelukan ibu, buat Cempaka jadi lena semula.
Masa musim salji yang lepas, ibu bawa Cempaka main salji.
Cempaka seronok sangat, ibu! Sejuknya salji! Masa tu, umur Cempaka lebih kurang
dua ke tiga bulan. Ibu kata, Cempaka dah putih macam dulu. Salji lagi putih
dari Cempaka. Barangkali, ibu terlebih gomol Cempaka, sebab tu Cempaka tak
seputih salji.
Musim ini musim bunga. Banyak bunga-bungaan berkembang di
universiti. Pulang dari universiti, ibu terus mencari gambar bunga cempaka dan
bunga dahlia. Lalu ibu tunjukkan pada Cempaka. Cantiknya bunga, kan ibu? J
Ibu, Cempaka saaaaayang ibu. Tiada apa yang boleh Cempaka
katakan. Kerana Cempaka hanya anak patung. Bukan anak ibu yang hakiki.
Cempaka tak ada jari untuk mengesat air mata ibu. Cempaka
tak punya suara untuk menyahut panggilan ibu. Cempaka tak punya tangan untuk
memeluk ibu kembali. Cempaka tak punya bibir untuk mengucup pipi ibu. Cempaka
tak memiliki kaki untuk berada sentiasa dekat dengan ibu.
Cumanya, Cempaka ada ilham yang disalurkan melalui ibu. Agar
ibu tahu, Cempaka bukan tempat bersandar. Ibu ada Tuhan untuk diluahkan segala
kesedihan. Ibu ada teman untuk dikongsikan kegembiraan.
Kala ibu memberi peringatan kepada kami, adik beradik,
Cempaka tahu ibu sedang memberitahu kepada diri sendiri jua. Kerana kami tak
pernah diciptakan dengan telinga untuk mendengar butir bicara ibu. Maka, ibu
jugalah yang harus terus menjadi sekuat singa, dengan pakaian tercantik taqwa.
Kala ibu menyedari Cempaka sudah tak seputih salji,
pandanglah hati ibu. Takut-takut itu refleksi hati ibu yang tak sebening
awalnya hati itu diciptakan. Kecantikan bunga pula, ibu jadikanlah simbol buat
diri ibu. Ibu bunga agama. Biarkan harum ibu bertebaran pada yang memerhati,
namun sukar didekati.
Di akhir warkah ini, Cempaka hanya ingin mengingatkan.
Ibu, berhentilah berbicara dengan Cempaka dan Abang Afiq.
Ibu ada masyarakat untuk bersosial. Cempaka takut, ibu dilabel gila. Banyak
lagi perkara yang boleh ibu selesaikan ketika ibu sibuk menjaga kami kononnya.
Kami tak perlukan perhatian ibu. Yang begitu menagih perhatian dan fokus ibu
ialah diri ibu sendiri sebenarnya.
Cempaka sayang ibu.
No comments:
Post a Comment