21.2.16

Cerpen: Uchi (Versi VOYA)

Assalamualaikum wbt.
Lama sangat dah rasanya tak update belog terchenta ni. Baca semula post-post lama, rasa geli, membahasakan diri sebagai Jiji.

But yeah, masa mematangkan, detik yang bergerak mendewasakan,
Selamat mendekat dengan Tuhan untuk diri sendiri.

Atas doa-doa khusus yang kalian hulurkan untuk saya, Jiji pada hari ini, saya persembahkan kepada kalian, satu-satunya cerpen untuk VOYA anjuran Biro Penerbitan dan Penerangan PERMATA. *menang tanpa bertanding.

Uchi. Bukan Icha seperti yang disebut pengerusi majlis malam penutup AGM hari tu.

***

 UCHI

Aku lambat buka mata hari itu. Matahari sudah menyilaukan baru Aku tersedar dari tidur panjang. Kesejukan malam buat Aku sukar dipeluk lena. Aku cuba juga melelapkan mata supaya aku sempat melukis mimpi sebelum siang menjelang.
Lazimnya, waktu-waktu begini, jalan pekan ini pasti dilimpahi kereta yang bersesak ke tempat kerja. Juga, bas-bas awam yang mengangkut majoriti pelajar kampung ini ke universiti. Tapi, hari ini sunyi. Mengapa?
Aku terserempak dengan temanku, Aya.
“Aya, kenapa hari ini sunyi? Cuti ke?” Aya menyengih.
“Mustahil kau lupa bulan mulia ni, Uchi.” Mata Aku terbeliak besar. Dah masuk Bulan Muliakah?
“Terima kasih, Aya, sebab ingatkan Aku. Aku betul-betul tak ingat.” Aya hanya membalas dengan senyum manis lalu meninggalkan Aku yang bagai seseorang yang bertemu dengan kekasih yang sudah lama tak ditemui.

Ya. Itu Aku. Aku begitu mencinta Bulan Mulia.
Aku terlalu rindu pada bulan itu. Bukan Aku sahaja, bahkan kawan-kawanku jua.
Ini negeri Husam. Kampung yang Aku duduki adalah Kampung Qire. Penduduknya sangat terkenal dengan kekuatan hubungan keluarga. Mereka sangat bersatu dalam puak keluarga. Pernah suatu ketika, seorang ahli keluarga Jihu berperang mulut dengan keluarga Hai hanya kerana kekasihnya diusik oleh keluara Hai tadi. Lalu, seluruh keluarga Jihu turun membela nasib ahli keluarganya.
Ini kesatuan yang dimaksudkan bagi mereka.

Namun begitu, tidak pula mereka membela nasib aku dan kawan-kawanku. Mereka cukup benci dengan golongan seperti kami. Cuma segelintir dari mereka meraikan kami sebagai makhluk Tuhan. Selain daripada yang sedikit tadi, semuanya pantang nampak kami, pasti kami ditendang, dikejar atau ditengking sesuka hati.

Aku tahu kawan-kawan Aku di negeri-negeri yang lain seperti Abtar dan Sayef, mereka sangat dibela.tidak pernah mereka dibiar kelaparan. Aku masih ingat cerita Poi tentang tuannya yang sering bercakap tentang negerinya Abtar. Tuannya berkata;
“Kau dan golongan kau simbol penting negeri ini.” Lalu, kisahnya bersambung dengan sejarah susur galur nenek moyang mereka yang terhutang budi dengan golongan kami.

Berbeza pula dengan kisah Dit di negeri Sayef.
Di negeri Sayef, berat badan Aku bertambah-tambah. Dit menceritakan bahawa penduduk negerinya memang terkenal dengan kelembutan hati. Mereka tidak boleh melihat kekejaman terhadap berlaku di hadapan mereka.

Namun demikian, benarlah pepatah ada mengatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Sejauh mana baik layanan negeri-negeri lain, Aku tetap rindu layanan penduduk kampung Qire terhadapku.

Ini Bulan Mulia. Inilah musim kebaikan mereka.
Sebab itu Aku begitu mencintai bulan ini. Semua penduduk menjaga kami seperti menjaga ahli keluarga mereka juga. Di mata mereka, kamilah yang paling kasihan, kelaparan, dan kesejukan. Nasib Aku dan kawan-kawan Aku terbela di bulan ini.
Hanya di bulan ini.
Namun, Aku tidak pernah kisah.
Lembut mereka di bulan ini buat Aku terlupa tingkah kejam mereka di tiga per empat tahun yang lain.

Aku terus berlari menuju ke rumah berwarna coklat di tepi kedai daging. Aku selalu teringin memakan sama ketika harum tumisan daging dengan bawang menerjah masuk lubang hidung Aku. Aku menyapa mesra sambil mengetuk pintu hadapan perlahan.
Pintu terbuka. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang memegang anak patung mahu menyepak Aku. Namun, sempat ibunya menjerit dari dapur;

“Jangan, adik! Ini Bulan Mulia.” Budak tadi berubah serta merta! Dia terus menunduk membelai Aku. Leher Aku diusap lembut. Aduh, seronoknya begini. Aku mahu Bulan Mulia selalu.
Budak itu berbisik lembut; “Tunggu kejap ya, mama tengah masak untuk kami berbuka. Nanti aku beri sedikit untuk kau makan.”

Ibunya yang menjadi saksi perbualan sebelah pihak antara kami jadi tersenyum.
Aku berbaringan di beranda rumah itu. Kanak-kanak lelaki yang aku dengar dipanggil Ali itu membawakan kepada Aku kusyen lembut.
Aku terus mendapatkan kusyen tersebut lalu memeluknya erat.
Nikmat satu per empat tahun.
Tuhan, jadikan Bulan Mulia ini kekal untuk tiga per empat tahun yang berbaki. Aku berangan jauh hingga terlihat kami berkumpul bersama golongan manusia dalam sebuah majlis. Tiada persengketaan. Hanya kasih sayang yang tersebar dalam majlis itu.

Aku tersedar dalam senyum yang masih bersisa di bibir ketika Ali menyeru Aku.
“Dah nak berbuka, mari makan sekali.” Aku melangkah masuk ke dalam rumah dengan hati girang.
Tersedia sebuah mangkuk di satu sudut untuk Aku makan. Aku cuba bersopan, lalu ikut menanti laungan azan, tanda waktu mereka berbuka. Mereka satu keluarga bermanis muka memandang Aku.
“Jemputlah makan, dah azan dah.” Aku sengih. Aku sedut harum hidangan itu terlebih dahulu. Ia menjadikan separuh dari perutku terisi. Yang sebenarnya, yang terisi kenyang dengan perbuatan menghidu begitu adalah nafsu Aku. Nafsu aku jadi puas.
Aku menjelir lidah untuk merasa.
Mataku terbeliak luas. Perlahan-lahan tertutup, menikmati kunyahan makanan lazat itu.
“Sedap ke?” Suara Ali mengejutkan lamunan Aku. Aku angguk laju. Kunyahan Aku menjadi pantas.

Lalu, Aku terbayang-bayang lagi hari yang bakal Aku lalui di Bulan Mulia ini. Aku lalu terlena kerana kenyang yang terlalu. Entah bila mereka bergerak ke masjid untuk berterawih pun Aku tak sedar. Tak pula Aku disuruh tidur diluar rumah. Sangat selesa tidur di dalam kawasan berbumbung, terlindung begini. Taklah badan Aku sakit dihinggap angin dingin. Segala syukur dan puji Aku kembalikan kepada Tuhan yang mencipta Aku.
***
Rumah coklat, rumah biru, rumah putih, rumah jingga, semuanya sudah Aku jelajah di Bulan Mulia ini. Tiada satu pun yang menolak kehadiran Aku. Malah, mereka meraikan dengan menjemput Aku dan kawan-kawan sekali lagi untuk majlis makan bersama-sama.

Bulan Mulia kian penuh. Tanda ia bakal meninggalkan kami. Aku dan kawan-kawan Aku tahu perkara ini bakal berlalu. Mahu tak mahu, Bulan Mulia tetap akan berlalu.
Hati kami semuanya menangis. Kami senantiasa berdoa pengekalan bulan ini. Mana tahu doa salah seorang dari kami dimakbulkan Tuhan. Hanya Tuhan yang Mengetahui.

Malam ini malam keraian. Meraikan keberjayaan berada di Bulan Mulia selama 30 hari. Aku dan kawan-kawan Aku mula menyorok di tempat persembunyian masing-masing. Waktu ini selalunya, kanak-kanak banyak bermain mercun. Jika langkah kiri, boleh jadi kulit kami boleh terbakar kerana dibaling mercun oleh mereka.

Aku mulai menangis di tempat persembunyian Aku. Memori memakan daging tumis bawang yang enak mulai bermain di minda.
Aku rindu.
Ini saja bulannya. Dan ianya sudah berakhir.

Tiga per empat tahun lagi, bakal mengembalikan tingkah asal penduduk kampung Qire. Kekejaman mereka. Sepakan, tengkingan. Aku perlu lalui juga sama ada suka ataupun duka. Aku perlu terus hidup, untuk menikmati Bulan Mulia sekali lagi.
Tiba-tiba, Aku menangkap sayup-sayup suara yang memanggil nama Aku.

“Uchi!” Dua tiga kali juga diulang. Kemudian, bersambung dengan satu per satu nama kawan-kawan Aku.
“Vimo!” dan semuanya dipanggil.

Mata Aku menyaksikan suluhan cahaya ke arah tempat-tempat persembunyian kami. Masing-masing dari kami berpura-pura tidur. Jangan sampai tempat ini ditemui mereka, kalau tidak nahaslah kami!
Suara mereka semakin hampir. Tuhan, selamatkan kami! Aku sempat berdoa dalam hati. Mata, Aku pejamkan rapat-rapat. Terketar-ketar badanku sehingga kulit Aku terasa disentuh.
Aku terus melompat, cuba melarikan diri. Tapi tangan tadi memeluk Aku erat.

“Janganlah lari.” Eh, suara Ali. Aku segera menyimpan kuku. Ali? Aku membuka mata seluas-luasnya. Ahli rumah putih, rumah kuning, rumah merah, semuanya ada, mencari tetamu pertama masing-masing.
“Kami minta maaf atas kesalahan kami dalam tempoh tiga per empat tahun sebelum ini. Kami khilaf.” Ibu Ali menerangkan.
“Bulan Mulia kali ini, kami bertekad untuk mengekalkan tingkah kami terhadap kalian. Kami janji tidak akan berlaku kasar lagi terhadap kamu semua.” Ayah Ali pula menambah.

Mata Aku berkaca-kaca.
Tuhan, Kau telah makbulkan doa-doa kami?
Akhirnya, Bulan Mulia terus kekal dan terbias dalam peribadi semua penduduk Qire.

Inilah Bulan Mulia yang sudah lama Aku nantikan. Bulan Mulia tahun ini benar-benar ajaib!

*** 

Kenapa versi VOYA? Sebab VOYA punya syarat tak lebih 1200 patah perkataan. Dan cerpen asal yang Jiji tulis mencecah 1700 perkataan. Jenuh edit, haha.
Sila tinggalkan komen dan kritikan anda.

21022016
Masih di perantauan.