22.2.17

MENCIUM HARUM TANAH SYUHADA' (VOYA)


Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Diana turun cepat dari koster usai tambang 20 sen bertukar tangan. Lapar! Perutnya harus diisi. Dari pagi tadi, belum ada apa-apa yang ditelan. Padanlah perutnya kini merengek minta diisi. Sibuk saja berdendang lagu irama etnik kreatif dalam kelas Doktor Zaid tadi. Dia menuju ke Restoran Sya’bi.
Syiling 50 sen dia keluarkan dari dompet.

“Baid maqli wahid, ammu.”
“Masyi, sodiqah.”

Pergerakan tangan pak cik kedai itu dia perhati satu per satu. Sekeping roti diambil, dibelah tengah. Telur yang sudah siap digoreng diletak di tengah-tengah roti. Kemudian, roti tadi diletak bawah pemberat atas pemanas. Seminit berlalu, laju saja tangannya mencapai roti tadi. Kentang goreng dibubuh, diikuti dengan terung goreng, salad serta rencah bagi menambah rasa. Sos tidak dilupa. Lalu, diambil pula sehelai kertas pembungkus makanan lalu dibalut roti tadi.

“Tafadholi, sodiqah.” Pak cik kedai tersenyum. Seperti Diana juga. Duit baki dipulangkan. Inilah makanan yang selalu dia beli untuk mengalas perut apabila pulang dari universiti. Selain shawarma dan arayes yang juga termasuk dalam senarai pilihan. Diana memasukkan roti tadi dalam beg, biar kekal hangat untuk dimakan nanti. Tak sabar rasanya mahu membaham roti enak dengan gabungan beberapa elemen tadi! Cuba kau rasa, pasti kecur liur.

Diana lalu berjalan pulang ke rumah. Hari ini, jadualnya padat. Jam tiga nanti dia perlu menghadiri mesyuarat untuk program yang bakal diadakan pada hujung Disember. Alahai, sekarang sudah jam dua suku!

Laungan azan kedengaran.

Diana mempercepatkan langkah. Jangan sampai..
Ah! Seperti yang diduga, dia berselisih dengan lelaki berjubah putih, siap menuju ke Masjid Syuhada’. Lelaki itu memang selalu ke masjid waktu-waktu begini. Dia menunduk hormat. Perbuatannya sama dengan lelaki tadi. Aduh, janggalnya! Diana mengemaskan letak beg sandang yang digalasnya. Janggal sekali berselisih sebegini. Tanpa disedari, ada garis senyum pada bibirnya.

Pemuda yang hatinya tertaut dengan masjid.

Diana tersenyum lagi.

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepadamu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Ping! Ping! Ping!
Bertalu-talu nada dering berbunyi, notifikasi dari grup WhatsApp ‘Adabians Mumtaz’. Grup kawan-kawan satu jurusan. Malam ini, ada study group di rumah salah seorang teman kami. Masing-masing kecoh mencari murokib untuk ke kelas. Meskipun jarak rumah teman itu dengan rumah kami taklah begitu jauh, peraturan tetap peraturan, bukan? Para mahasiswi dikehendaki bermurokib bermula selepas Maghrib.

Aya: Ali, kau murokib aku tau malam ni!
Hani: Aku jugak
Alisy: Aku jugak
Dayah: Aku jugak
Diana pun tumpang sekaki.
Diana: Aku jugak

Copy paste. Memang itulah yang mereka selalu lakukan. Tak lama kemudian, geng-geng lelaki pulak menambah, copy paste isi yang sama.

Pian: Aku jugak
Nabil: Aku jugak
Barulah Ali datang selepas itu;
Ali: Aku murokib akhowat je. Pukul 7 turun, lambat tinggal.

Aku tergelak. Ali memang boleh dinobatkan menjadi murokib mithali. Jarang sekali permintaan untuk murokib ditolaknya. Nampaklah, dia kasih dan prihatin terhadap keselamatan para mahasiswi di bumi Mu’tah ni, kan?

Arahannya disambut dengan pelbagai reaksi dari kawan-kawan.
“garangnya Ustaz Ali,” “baik, ustaz Ali,” “takutlah nak murokib dengan Ustaz Ali lepas ni.” Masing-masing mempersendakannya. Tapi, hakikatnya inilah yang membuatkan hubungan mereka rapat. Dengan menjaga batasan syariah. Susah sama-sama, senang sama-sama.

Jurusan Bahasa Arab bukanlah jurusan yang mudah dalam kalangan pelajar Malaysia di Universiti Mu’tah. Bukan seorang yang gagal menamatkan pengajian mengikut masa yang telah ditetapkan. Maka, mereka sendiri mengambil inisiatif untuk sama-sama belajar, sama-sama graduasi dengan cemerlang.

Malam ini, mereka akan sama-sama mengulangkaji subjek Manahij Naqod. Subjek yang banyak membunuh kebanyakan pelajar-pelajar Bahasa Arab. Mereka berazam untuk sama-sama meneruskan kehidupan tanpa perlu mengulangi subjek ini lagi pada semester hadapan, sebab itulah study group ini diwujudkan.

***
“Korang jawab apa yang doktor nak je. Jangan melebih-lebih sampai tak cukup kertas. Makin panjang jawapan, makin banyaklah tanda merah,” itulah pesanan terakhir tutor sebelum kelas tamat. Sebelum beredar pulang, mereka mengambil gambar bersama-sama. Bak kata Nabil, bila lagi nak togede gede macam ni?

“Nanti semorang dah khirij, tinggal aku sorang-sorang,” ujar Muaz.
“Alah, janganlah cakap macam tu, Muaz. Kita sama-samalahh,” Diana membalas. Kawan-kawan yang lain bersetuju. Kemudian, Pian terus mengangkat kamera. Isyarat senyap dibunyikan.
“Dah dah diam diam. Jangan menangis buat drama. Say adabians mumtaz!”
Wefie.
Klik!
Diana tak habis-habis senyum. Manalah tak sayang geng Adabians Mumtaz ni.

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Kak Nita mengusap belakang Diana lembut. Memujuknya perlahan. Tapi air matanya makin laju pula mengalir.

“Pe..nat..lah kak. Dia.. tak per..nah faham. Sa..ya cuma nak.. ge..rak kerja lan..car. Tapi, dia ka..ta saya be..bel pulak,” luahan Diana tersekat sekat diselangi sedu. Kak Nita terus menerus mengusap belakangnya.

“Sya..bab me..mang tak su..ka sa..ya kot. Pas..tu ke..napa lantik..saya?” Diana nangis lagi.
Sesak sekali dadanya memikirkan gerak kerja yang sudah begitu lewat. Sepatutnya, selepas kertas kerja diterima, mereka perlu terus melaksana untuk mengelakkan perkara yang sebegini terjadi.
Banyak kali Diana mengingatkan pengarah untuk mengerah Ahli Jawatankuasa agar terus menyenaraikan tugas-tugas setiap unit. Tapi semuanya diam membisu. Sang Pengarah sibuk perkara lain. Yang AJK pula masing-masing bagai sepakat membiarkan arahan dia dibawa angin bulan November ini. Krik Krik. Tak memberikan kerjasama yang baik.

Atau sebenarnya dialah yang tidak menjadi seorang ketua yang baik?
“Ana, jom kita ziarah Mazar nak?” mata Diana berkaca-kaca. Mazar. Daerah tenang yang menyemadikan jasad-jasad para sahabat yang menemui syahid dalam Perang Mu’tah. Daerah yang selalu didatangi untuk membebat luka dalam hati. Daerah yang dia sukai tatkala berasa lemah, untuk mengutip semangat-semangat yang berlegar-legar di situ. Di daerah itu.

Diana angguk tanpa jeda. Memang sejak pulang dari Malaysia usai semester musim panas hari tu, dia belum berkesempatan menziarahi.

***
Diana dan Kak Nita memasuki Makam Abdullah bin Rawahah. Makam ini terletak agak jauh dari kawasan masjid. Disebabkan itu, makamnyalah yang paling jarang sekali diziarahi. Kali ini, mereka memilih untuk menziarahi penyair Rasulullah itu terlebih dahulu.
Al Fatihah dibacakan, menghormati sahabat itu.

Diana berdoa bersungguh-sungguh. Mendoakan sahabat, diselangi untuk diri sendiri, supaya kuat dan teguh sebagaimana sahabat ini juga. Dialah yang paling berkobar-kobar membangkitkan semangat sahabat yang lain ketika mereka lemah untuk berjihad menentang Tentera Rom.

“Aisy azizan au maut syahidan!” Bicara itulah yang menjadi aspirasi sehingga tersemadi jasadnya di tanah ini. Dan dia telah berjaya mendapat maut syahidan! Diana kemudian mendekati papan informasi yang menceritakan kisah Abdullah bin Rawahah. Ketika itulah, pengawal makam datang menghampiri.

“Kamu pelajar Mu’tah ke?” Diana angguk sebelum menjawab pertanyaan pakcik tersebut.
“Ya, saya.”
“Kamu tahu kenapa Mu’tah di panggil Mu’tah?”
“Tak tahu. Kenapa pakcik, ceritalah.” Saat itu, dia menggamit Kak Nita yang masih berdiri di sebelah makam supaya mendekatinya, ikut sama mendengar bicara yang hendak disampaikan oleh pengawal makam ini.

“Ini mitos. Aku pun tak pasti kesahihan cerita ini.” Diana dan Kak Nita faham. Lalu, pakcik tadi menyambung ceritanya. “Sewaktu hendak berperang dahulu, masing-masing menyeru, jai maut! Jai maut! (Mari menuju kesyahidan!) Dari situlah, nama Mu’tah timbul. Maut, Mu’tah.”
Mata Diana bercahaya. Tangan Kak Nita dia genggam erat.

“Aku sangat berbangga dipilih Tuhan untuk menduduki tanah ini. Tanah syahid. Jadi, sadiqah, jai maut!” Pakcik tadi menggenggam tangan, menunjukkan tanda semangat kepadanya.
Tanah barakah ini, bagai bayangan syurga. Baru saja kau terdetik perlukan semangat, datanglah peniup semangat dri segenap penjuru yang kau tak tahu. Tiba-tiba saja muncul!

“Terima kasih pakcik.” Diana mengucapkan terima kasih kepada pakcik yang berkongsi cerita dengannya. Atas semangat yang pakcik percikkan sampai berkobar-kobar rasa. Kak Nita memeluk bahu Diana.
“Macam biasalah kan?”
“Mazar tak pernah mengecewakan,” Diana sudah bisa tersenyum.
Benar, Mazar tak pernah mengecewakan dalam usaha kau menggali semangat yang hilang. Bertandanglah, kau akan mendapat ketenangan yang luar biasa.

Salam akhir
Salam yang teristimewa
Kepadanya kumemohon keampunan
Melalui-Nya kuberi kemaafan kepadamu

Post! Diana menghantar post pemberitahuan kepulangannya ke tanah air di grup Mahasiswi  Mu’tah. Macam tak percaya dia akan pulang meninggalkan tanah barakah ini. Dia menarik nafas dalam-dalam. Selepas ini, tiada lagi udara dataran syuhada’ yang akan dihirup masuk ke rongga peparunya.
Wah! Seolah-olah baru semalam, pihak Sambutan Pelajar Baru menyambut ketibaannya dan kawan-kawan di Lapangan Terbang Queen Alia. Pertama kali memasuki kelas Nusus Jahiliyah dalam keadaan kabur dan tak mengerti entah apa yang diterangkan oleh Doktor Khalil. Ah, serasanya baru semalam dia dan Kak Nita keluar makan bersama. Merasai Mansaf.

Selepas ini, tiada lagi shawarma Restoran Zumer yang enak. Zinger yang dihidang oleh pakcik ramah Restoran Petra. Pizza depan universiti. Maa’jan syukulah Pakcik Mahabbah yang penuh dengan sifat mahabbah. Nasi Mansaf yang enak Restoran Zad.

Selamat tinggal ais salji, sejuk membeku. Tiada lagi bahang musim panas yang membakar. Bunga-bungaan di peralihan musim. Ros, kekwa, jasmin. Lepas ini tiada sudah.
Diana senyum. Perasaannya bercampur baur. Adakah dia perlu menangisi bumi yang akan ditinggalkan ini, atau bergembira dengan keluarga yang bakal dijejaki?

Terima kasih, geng Adabians Mumtaz! Terima kasih kawan-kawan yang membantu sepanjang kehidupan di Mu’tah ini!
Selamat jalan, crush.
Diana tersenyum. Dia menyedut nafas dalam-dalam lagi. Menikmati. Inilah udara harum yang terserap dalam jiwa!

***
Diana mengetatkan tali pinggang keselamatan. Isyarat memasang tali pinggang tiba-tiba saja menyala ketika pesawat berada 8000 kaki di atas awan. Pesawat sedikit bergegar.  Cuaca tidak baik. Pasti pesawat berlanggar dengan awan tebal.

Diana jadi teringat pada Tanah Mu’tah. Ada beberapa kali gempa bumi kecil yang dia rasai ketika dia menghuni bumi itu. Alamak, sorang sorang pulak muka datang. Hatinya mengomel sendiri.
Satu per satu wajah temannya muncul dalam minda. Geng Adabians Mumtaz. Team yang sama-sama bekerja dalam persatuan. Diana tergelak kecil. Hatinya jadi berbunga-bunga mengenangkan ibu dan ayah yang sedang menanti di lapangan terbang. Kata ibu, ibu telah gubah sejambak bunga dengan coklat sebagai hadiah graduasinya.

Tak sabarnya nak jumpa ibu ayah! 
Hati Diana melonjak gembira. Dia memejam mata kembali. Pesawat sudah tidak bergegar seperti tadi. Isyarat memakai tali pinggang pun sudah dipadamkan. Cuma, dia membiarkan tali pinggang terpasang. Doa tidur dan syahadah dibaca. Itulah tabiat yang dia praktik sedari kecil sebelum hendak tidur.
Dengan nama Allah, aku hidup dan aku mati.

andainya aku punya waktu
masih kuingin mengulangi semula
saat indah bersamamu
sayang tak berkesempatan
abadikan saja salam ku di ingatan

Kak Nita membuka aplikasi Flight Tracker. Dia sudah berjanji untuk menjejaki pesawat yang dinaiki Diana ketika di lapangan terbang semalam. Jika dianggarkan perjalanannya, sepatutnya Diana berbaki lima jam untuk tiba di tanah air. Dia menekan nombor kod pesawat yang dinaiki Diana.
ABC123.
Error.
Berulang kali dia mencuba, tetapi usahanya tidak berjaya. Pintunya diketuk kuat tiba-tiba. Wajah Mira terpacul. Wajahnya nampak cemas.
“Kak Nita!” Pada tangannya terdapat telefon bimbit yang mengarah kepadanya.
***

Pesawat ABC123 dilaporkan terhempas pada jam 10 pagi tadi waktu tempatan. Seramai 275 anak kapal maut dalam nahas tragedi pesawat itu termasuk 6 orang atendan yang bertugas.

Salamku yang terakhir


****

TAMMAT

21.2.16

Cerpen: Uchi (Versi VOYA)

Assalamualaikum wbt.
Lama sangat dah rasanya tak update belog terchenta ni. Baca semula post-post lama, rasa geli, membahasakan diri sebagai Jiji.

But yeah, masa mematangkan, detik yang bergerak mendewasakan,
Selamat mendekat dengan Tuhan untuk diri sendiri.

Atas doa-doa khusus yang kalian hulurkan untuk saya, Jiji pada hari ini, saya persembahkan kepada kalian, satu-satunya cerpen untuk VOYA anjuran Biro Penerbitan dan Penerangan PERMATA. *menang tanpa bertanding.

Uchi. Bukan Icha seperti yang disebut pengerusi majlis malam penutup AGM hari tu.

***

 UCHI

Aku lambat buka mata hari itu. Matahari sudah menyilaukan baru Aku tersedar dari tidur panjang. Kesejukan malam buat Aku sukar dipeluk lena. Aku cuba juga melelapkan mata supaya aku sempat melukis mimpi sebelum siang menjelang.
Lazimnya, waktu-waktu begini, jalan pekan ini pasti dilimpahi kereta yang bersesak ke tempat kerja. Juga, bas-bas awam yang mengangkut majoriti pelajar kampung ini ke universiti. Tapi, hari ini sunyi. Mengapa?
Aku terserempak dengan temanku, Aya.
“Aya, kenapa hari ini sunyi? Cuti ke?” Aya menyengih.
“Mustahil kau lupa bulan mulia ni, Uchi.” Mata Aku terbeliak besar. Dah masuk Bulan Muliakah?
“Terima kasih, Aya, sebab ingatkan Aku. Aku betul-betul tak ingat.” Aya hanya membalas dengan senyum manis lalu meninggalkan Aku yang bagai seseorang yang bertemu dengan kekasih yang sudah lama tak ditemui.

Ya. Itu Aku. Aku begitu mencinta Bulan Mulia.
Aku terlalu rindu pada bulan itu. Bukan Aku sahaja, bahkan kawan-kawanku jua.
Ini negeri Husam. Kampung yang Aku duduki adalah Kampung Qire. Penduduknya sangat terkenal dengan kekuatan hubungan keluarga. Mereka sangat bersatu dalam puak keluarga. Pernah suatu ketika, seorang ahli keluarga Jihu berperang mulut dengan keluarga Hai hanya kerana kekasihnya diusik oleh keluara Hai tadi. Lalu, seluruh keluarga Jihu turun membela nasib ahli keluarganya.
Ini kesatuan yang dimaksudkan bagi mereka.

Namun begitu, tidak pula mereka membela nasib aku dan kawan-kawanku. Mereka cukup benci dengan golongan seperti kami. Cuma segelintir dari mereka meraikan kami sebagai makhluk Tuhan. Selain daripada yang sedikit tadi, semuanya pantang nampak kami, pasti kami ditendang, dikejar atau ditengking sesuka hati.

Aku tahu kawan-kawan Aku di negeri-negeri yang lain seperti Abtar dan Sayef, mereka sangat dibela.tidak pernah mereka dibiar kelaparan. Aku masih ingat cerita Poi tentang tuannya yang sering bercakap tentang negerinya Abtar. Tuannya berkata;
“Kau dan golongan kau simbol penting negeri ini.” Lalu, kisahnya bersambung dengan sejarah susur galur nenek moyang mereka yang terhutang budi dengan golongan kami.

Berbeza pula dengan kisah Dit di negeri Sayef.
Di negeri Sayef, berat badan Aku bertambah-tambah. Dit menceritakan bahawa penduduk negerinya memang terkenal dengan kelembutan hati. Mereka tidak boleh melihat kekejaman terhadap berlaku di hadapan mereka.

Namun demikian, benarlah pepatah ada mengatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Sejauh mana baik layanan negeri-negeri lain, Aku tetap rindu layanan penduduk kampung Qire terhadapku.

Ini Bulan Mulia. Inilah musim kebaikan mereka.
Sebab itu Aku begitu mencintai bulan ini. Semua penduduk menjaga kami seperti menjaga ahli keluarga mereka juga. Di mata mereka, kamilah yang paling kasihan, kelaparan, dan kesejukan. Nasib Aku dan kawan-kawan Aku terbela di bulan ini.
Hanya di bulan ini.
Namun, Aku tidak pernah kisah.
Lembut mereka di bulan ini buat Aku terlupa tingkah kejam mereka di tiga per empat tahun yang lain.

Aku terus berlari menuju ke rumah berwarna coklat di tepi kedai daging. Aku selalu teringin memakan sama ketika harum tumisan daging dengan bawang menerjah masuk lubang hidung Aku. Aku menyapa mesra sambil mengetuk pintu hadapan perlahan.
Pintu terbuka. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang memegang anak patung mahu menyepak Aku. Namun, sempat ibunya menjerit dari dapur;

“Jangan, adik! Ini Bulan Mulia.” Budak tadi berubah serta merta! Dia terus menunduk membelai Aku. Leher Aku diusap lembut. Aduh, seronoknya begini. Aku mahu Bulan Mulia selalu.
Budak itu berbisik lembut; “Tunggu kejap ya, mama tengah masak untuk kami berbuka. Nanti aku beri sedikit untuk kau makan.”

Ibunya yang menjadi saksi perbualan sebelah pihak antara kami jadi tersenyum.
Aku berbaringan di beranda rumah itu. Kanak-kanak lelaki yang aku dengar dipanggil Ali itu membawakan kepada Aku kusyen lembut.
Aku terus mendapatkan kusyen tersebut lalu memeluknya erat.
Nikmat satu per empat tahun.
Tuhan, jadikan Bulan Mulia ini kekal untuk tiga per empat tahun yang berbaki. Aku berangan jauh hingga terlihat kami berkumpul bersama golongan manusia dalam sebuah majlis. Tiada persengketaan. Hanya kasih sayang yang tersebar dalam majlis itu.

Aku tersedar dalam senyum yang masih bersisa di bibir ketika Ali menyeru Aku.
“Dah nak berbuka, mari makan sekali.” Aku melangkah masuk ke dalam rumah dengan hati girang.
Tersedia sebuah mangkuk di satu sudut untuk Aku makan. Aku cuba bersopan, lalu ikut menanti laungan azan, tanda waktu mereka berbuka. Mereka satu keluarga bermanis muka memandang Aku.
“Jemputlah makan, dah azan dah.” Aku sengih. Aku sedut harum hidangan itu terlebih dahulu. Ia menjadikan separuh dari perutku terisi. Yang sebenarnya, yang terisi kenyang dengan perbuatan menghidu begitu adalah nafsu Aku. Nafsu aku jadi puas.
Aku menjelir lidah untuk merasa.
Mataku terbeliak luas. Perlahan-lahan tertutup, menikmati kunyahan makanan lazat itu.
“Sedap ke?” Suara Ali mengejutkan lamunan Aku. Aku angguk laju. Kunyahan Aku menjadi pantas.

Lalu, Aku terbayang-bayang lagi hari yang bakal Aku lalui di Bulan Mulia ini. Aku lalu terlena kerana kenyang yang terlalu. Entah bila mereka bergerak ke masjid untuk berterawih pun Aku tak sedar. Tak pula Aku disuruh tidur diluar rumah. Sangat selesa tidur di dalam kawasan berbumbung, terlindung begini. Taklah badan Aku sakit dihinggap angin dingin. Segala syukur dan puji Aku kembalikan kepada Tuhan yang mencipta Aku.
***
Rumah coklat, rumah biru, rumah putih, rumah jingga, semuanya sudah Aku jelajah di Bulan Mulia ini. Tiada satu pun yang menolak kehadiran Aku. Malah, mereka meraikan dengan menjemput Aku dan kawan-kawan sekali lagi untuk majlis makan bersama-sama.

Bulan Mulia kian penuh. Tanda ia bakal meninggalkan kami. Aku dan kawan-kawan Aku tahu perkara ini bakal berlalu. Mahu tak mahu, Bulan Mulia tetap akan berlalu.
Hati kami semuanya menangis. Kami senantiasa berdoa pengekalan bulan ini. Mana tahu doa salah seorang dari kami dimakbulkan Tuhan. Hanya Tuhan yang Mengetahui.

Malam ini malam keraian. Meraikan keberjayaan berada di Bulan Mulia selama 30 hari. Aku dan kawan-kawan Aku mula menyorok di tempat persembunyian masing-masing. Waktu ini selalunya, kanak-kanak banyak bermain mercun. Jika langkah kiri, boleh jadi kulit kami boleh terbakar kerana dibaling mercun oleh mereka.

Aku mulai menangis di tempat persembunyian Aku. Memori memakan daging tumis bawang yang enak mulai bermain di minda.
Aku rindu.
Ini saja bulannya. Dan ianya sudah berakhir.

Tiga per empat tahun lagi, bakal mengembalikan tingkah asal penduduk kampung Qire. Kekejaman mereka. Sepakan, tengkingan. Aku perlu lalui juga sama ada suka ataupun duka. Aku perlu terus hidup, untuk menikmati Bulan Mulia sekali lagi.
Tiba-tiba, Aku menangkap sayup-sayup suara yang memanggil nama Aku.

“Uchi!” Dua tiga kali juga diulang. Kemudian, bersambung dengan satu per satu nama kawan-kawan Aku.
“Vimo!” dan semuanya dipanggil.

Mata Aku menyaksikan suluhan cahaya ke arah tempat-tempat persembunyian kami. Masing-masing dari kami berpura-pura tidur. Jangan sampai tempat ini ditemui mereka, kalau tidak nahaslah kami!
Suara mereka semakin hampir. Tuhan, selamatkan kami! Aku sempat berdoa dalam hati. Mata, Aku pejamkan rapat-rapat. Terketar-ketar badanku sehingga kulit Aku terasa disentuh.
Aku terus melompat, cuba melarikan diri. Tapi tangan tadi memeluk Aku erat.

“Janganlah lari.” Eh, suara Ali. Aku segera menyimpan kuku. Ali? Aku membuka mata seluas-luasnya. Ahli rumah putih, rumah kuning, rumah merah, semuanya ada, mencari tetamu pertama masing-masing.
“Kami minta maaf atas kesalahan kami dalam tempoh tiga per empat tahun sebelum ini. Kami khilaf.” Ibu Ali menerangkan.
“Bulan Mulia kali ini, kami bertekad untuk mengekalkan tingkah kami terhadap kalian. Kami janji tidak akan berlaku kasar lagi terhadap kamu semua.” Ayah Ali pula menambah.

Mata Aku berkaca-kaca.
Tuhan, Kau telah makbulkan doa-doa kami?
Akhirnya, Bulan Mulia terus kekal dan terbias dalam peribadi semua penduduk Qire.

Inilah Bulan Mulia yang sudah lama Aku nantikan. Bulan Mulia tahun ini benar-benar ajaib!

*** 

Kenapa versi VOYA? Sebab VOYA punya syarat tak lebih 1200 patah perkataan. Dan cerpen asal yang Jiji tulis mencecah 1700 perkataan. Jenuh edit, haha.
Sila tinggalkan komen dan kritikan anda.

21022016
Masih di perantauan.

7.11.14

Cerpen : Qu, Sahabat! ( Bahagian 1 )


Dah lama rasanya tak update belog kesayangan ni ha.

Tentang Penulisan Jiji
Jiji dulu rajin sertai pertandingan penulisan. Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri, Pertandingan Menulis dalam Tulisan Jawi.
Tapi, sebab sijil penyertaan tak sampai kat tangan Jiji, Jiji jadi putus asa. *sigh

Hujung tingkatan lima, cuti panjang tu, Jiji sertai Sayembara Penulisan kategori cerpen anjuran ITBM-BH-PENA.
Pun! Sijil penyertaan tak sampai kat tangan. lagilah putus asa.

Tapi, takpe. Jiji dah sambung asa balik. Lalu, Jiji mempersembahkan antara cerpen yang Jiji hantar untuk Sayembara Penulisan ITBM-BH-PENA. Rasa nak gelak dengan hasil tulisan tanga yang belum matang. Boleh bagi kritikan membina ya siapa-siapa, :)

***


Kasyi memandang kalendar masihi. 23 Februari 2052. Sudah 18 tahun dia hidup di bumi millenia ini rupanya. Langsung, dia bertapak menuju ke meja makan. Dia pasti, baba dan mamanya sudah menanti di meja makan berserta hadiah sempena hari lahirnya.
Senyuman tak lekang dari bibirnya. Dia melihat wajah mama dan babanya begitu berseri-seri. Di sisi mereka terdapat satu kotak besar setinggi dia.
“ Happy birthday, sayang!!” Mama dan baba mengucapkan selamat serentak. Dia sangat gembira.
“ Marilah, kita sarapan dulu. Lepas tu, kita buka hadiah ni sama-sama, ya?” ujar baba. Kasyi mengangguk laju. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk melihat isi kotak gedabak itu. Bihun goreng Singapura yang selalu menjadi kesukaannya seolah tidak mampu membuka seleranya untuk menambah pagi itu. Dia asyik terfikirkan kandungan kotak besar yang berbalut kertas jalur hijau kuning. Di atasnya ada reben merah. Matanya asyik menjeling pandang pada kotak itu.
“ Sayang, tambahlah. Makan dulu. Tak lari hadiah tu,” Mama menegur anaknya yang sudah tak betah disuruh tunggu sedangkan hadiahnya sudah berada di depan mata. Baba cuma senyum melihatkan tingkah dua beranak itu.
Pinggan dan cawan sudah diangkat oleh Panika, pembantu rumah bahagian kekemasan dan kebersihan. Kasyi senyum lebar. Kertas pembalut yang cantik itu dia buka gelojoh. Melihatkan kotak yang terdapat gambar gajet itu, Kasyi bertambah gembira. Dia mengoyak kotak itu pantas. Kini, di hadapannya berdiri seorang lelaki. Bezanya lelaki dihadapannya robot dan dia manusia.
Menjadi kelaziman semua keluarga menghadiahkan sebuah robot kepada anak mereka apabila mencecah usia 18 tahun. Ini merupakan idea syarikat pemaju terbesar di negara Fubotopia. Maklumlah, semua keluarga dalam negara ini mengamalkan perancangan keluarga. Bagi mereka, mempunyai seorang anak sudah terlalu ramai kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan kerja dan hal-hal dunia.
Jadi, ciptaan seorang pemikir dalam syarikat tersebut sangat laku. Lebih-lebih lagi, apabila pakar kaunseling mengatakan peningkatan masalah jenayah dalam negara maju itu adalah berpuncakan kesunyian anak-anak.
Mana tidaknya. Kehidupan sekarang begitu canggih. Masing-masing sibuk hal sendiri. Mereka tidak berminat dengan aktiviti kemasyarakatan. Mereka begitu memandang remeh pada hubungan dengan manusia. Nah! Nyata, sejak tiga tahun yang lalu, mulanya penjualan Robot Sahabat selepas tersebarluas penjualan Robot Pembantu Rumah, masalah jenayah sudah menurun statistiknya.
“ Terima kasih, Baba! Terima kasih, Mama!” Kasyi memeluk kedua-dua ibu bapanya dalam penuh kegembiraan. Mulai hari ini, dia tidak keseorangan lagi. Namun, jauh di sudut hati Kasyi, terdapat kekosongan yang masih belum terisi. Dia menghiraukan perasaan itu.
“ Mama, Baba, Kasyi naik dulu, ya?” Kasyi tersenyum. Dia memegang tangan Robot Sahabatnya itu. Dia mahu menyusun atur setting robotnya sendiri.
Dia menekan punat yang terdapat dibelakang tengkuk robotnya. Badan belakang robot itu terbuka. Kasyi tidak terkejut melihat beribu-ribu mungkin punat yang begitu halus seperti itu. Dia mengambil macrospec, satu-satunya ciptaan moden seorang wanita. Dari sebalik cermin itu, dia boleh melihat punat-punat halus tadi dengan jelas dan mudah. Hanya pakai seperti memakai cermin mata biasa.
Usai berpuas hati dengan setting yang dilakukan pada robotnya, dia menutup kembali belakang badan robot itu. Butang on ditolak ke atas.
“ Uish, sejuknya..” Robot itu bersuara. Kasyi terpegun. Dia tersenyum.
“ Jadi, awak nak nama awak apa?” Kasyi memberi kebebasan kepada robot itu memilih namanya sendiri. Robot itu menggaru-garu kepalanya.
“ Tak kisahlah. Saya kan dicipta untuk hilangkan kebosanan dan kesunyian awak. Terpulanglah awak nak bagi nama apa pada saya.” Robot itu tersenyum.
“ Well,well,well… Jadi, mulai saat ni, saya panggil awak Qu! Boleh?” Robot itu mengangguk. Dia senyum panjang. Nampaknya, dia suka dengan nama itu.
“ Tapi, saya tak tahu nama awak siapa,” Robot itu menunduk. Kasyi tersengih melihat tindakan robot itu. Takkanlah cuma tak tahu nama, dia perlu sedih sebegitu rupa? Robot…
“ Saya Kasyi Karina. Panggil Kasyi je,” Qu kembali tersenyum.
“ Kasyi, saya sejuklah. Awak tak nak bagi saya baju?” Kasyi angkat kening sebelah. Dia memandang Qu dari atas ke bawah berulang kali. Jari telunjuknya diketuk-ketuk ke dahi, tanda dia sedang memikirkan sesuatu.
“ Lomie, oh Lomie!! Naik bilik Kasyi kejap!” Kasyi menjerit nama pembantu rumahnya, yang juga robot, bahagian fesyen dan dandanan.
***
            “ Jom!” Kasyi menarik  tangan Qu menuju ke dalam Nutty itu. Nutty adalah sejenis bilik kecil yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan hiburan seperti jakuzi, kolam renang, bilik karaoke dan sebagainya. Hampir setiap rumah mempunyai bilik itu. Rumah Kasyi pun ada satu. Tapi, dia memilih untuk menggunakan Nutty yang ada di bandar untuk kegunaan awam.
            Dia hendak berduaan, menghabiskan masa dengan Qu. Lagipun, apa guna ada kawan kan? Jika dahulu, dia sering terkurung di dalam rumah. Mama dan babanya benar-benar berkeras tidak membenarkan dia keluar dari rumah bersendirian. Malah, dia juga tak dibenarkan keluar walaupun bertemankan pembantu rumah mereka dari bahagian riadah dan rekreasi.
            Kasyi berperasaan aneh dengan arahan rigid mama dan babanya. Dia jadi kebosanan di rumah. Mama dan babanya sibuk mengurus syarikat mereka sendiri, syarikat kenderaan solar dan elektrik. Masa kini, petroleum sudah tinggal cuma beberapa. Jadi, petrol tidak dapat digunakan lagi sebagai bahan api dalam kenderaan.
            “ Ah, panaslah!” Qu menegur. Takat suhu  di bahunya sudah merah. Kasyi tersenyum.
            “ Nama pun jakuzi, memanglah panas. Tak apa, lepas ni kita terjun dalam kolam renang ya? Aku pun tak nak kau meletup kat sini. Nanti, tak ada siapa-siapa yang boleh temankan aku jalan-jalan macam ni.” Senyum.
            Usai berenang di dalam kolam renang, mereka menuju ke Hydro Complex untuk membeli belah. Beratus-ratus kedai terdapat dalam kompleks membeli belah ini. Mahu tahu rahsia di sebalik nama kompleks ini? Kompleks ini adalah satu-satunya binaan yang nyaman suasananya dengan kesejukan semulajadi. Lantai kompleks ini hanya dilapisi kaca nipis dan di bawahnya air sungai yang mengalir dari kaki bukit.
            Dindingnya pula menggunakan batu biru yang diperbuat dalam takat suhu yang terlalu rendah. Maka, pegang dindingnya pun sudah terlalu sejuk. Qu gelak-gelak melihat ragam manusia yang seolah-olah sedang membeli belah di kutub selatan. Kasyi mencebik.
            “ Kau gelakkan akulah ni, ya?” Qu mengusap lembut belakang Kasyi.
            “ Janganlah merajuk. Kau lain. Kau comel je dalam baju tebal-tebal walaupun nampak macam beruang kutub.” Qu sudah berlari meninggalkan Kasyi.
            “ Qu!” mereka berkejaran sesama sendiri di ruang legar kompleks itu. Mereka kemudiannya singgah di restoran francais Kubota. Restoran yang pemiliknya berasal dari Jepun ini sering menjadi pilihan penduduk Fubotopia. Restoran ini menyediakan makan yang sesuai dimakan oleh manusia dan robot-robot sama ada robot sahabat, mahupun robot pembantu rumah dengan harga yang berpatutan!
            Berbeza dengan restoran lain, mereka mengasingkan menu makanan robot dengan manusia. Jelas kelihatan jurang yang ada di situ. Tambahan lagi, mereka terpaksa mengeluarkan 67Mk untuk satu hidangan. Harga sehidangan makanan seperti itu cukup untuk membeli robot sahabat lagi satu.
            “ Ha, nganga. Aku nak suap kau ni.” Qu nganga mengikut suruhan Kasyi. Tapi, suapan itu beralih ke arah mulutnya sendiri pula.
            “ Kau main tipu ya? Meh, aku sumbat mulut kau.” Qu menyumbat seberapa banyak suapan ke dalam mulut Kasyi. Geram dipermainkan.
            “ Ah, sudah..sudah. Bagilah aku kunyah dulu. Aku tak bawa Nyame’s aku.” Kasyi berbicara dengan mulut yang penuh. Dia terlupa mambawa mesin pengunyah makanan miliknya. Mesin itu selalu digunakan penduduk Negara ini apabila berada dalam situasi kecemasan atau kesuntukan masa.
***
            Kasyi baring di atas katil empuk berlapikkan cadar biru laut. Dia memandang kosong pada siling itu. Lampu sudah di padamkan. Suasana bilik jadi gelap. Adapun cahaya samar-samar yang masuk dari celah tingkap. Dia mengiring ke kanan, memandang Qu yang sudah lena. Dia pun sedang di cas tenaganya. Cahaya kelip-kelip keluar dari plag pengecas.
            Kasyi mengeluh. Hatinya masih ada kolong kosong yang tak terisi. Dia belajar bersyukur mempunyai teman sebaik dan selincah Qu, menemani kehidupan dia. Tapi, dia sendiri tak dapat memenuhi ruang itu walaupun kebanyakan masanya dihabiskan dengan Qu. Dia membelai rambut Qu yang terjuntai ke muka.
            “ Qu, aku sayang kau,” Kasyi berbisik sendiri. Dia buntu dalam mencari sesuatu untuk diisi dalam kekosongan itu. Dia berdiri menghadap halaman rumah di luar balkoni. Dia menghela nafas panjang.
            “ Apa yang kosong sangat ni, sebenarnya?” Kasyi mengeluh lagi. Tiba-tiba matanya tertarik pada bayangan putih yang dia nampak di balik batang pokok besar di tepi jalan. Dia menjerit, menarik perhatian bayang itu. Sujurus itu juga bayang itu terus hilang.
            Begitulah yang berlaku selama beberapa hari. Bayang itu hilang sebaik saja Kasyi memekik memanggil. Malam ini, Kasyi keluar dari rumah. Dia mahu lihat bayang putih itu dari dekat. Dia tidak takut hantu. Zaman milenia ini, mana ada lagi hantu seperti pada zaman nenek moyang dia.
            Rahang Kasyi terbuka sedikit melihatkan seorang lelaki kecil sedang menarik rumput di balik pokok besar itu. Perlahan, dia mendekati lelaki itu.
              Awak buat apa?” Lelaki itu sedikit terperanjat mendengar teguran Kasyi. Mukanya tampak takut-takut.
            “ Eh, jangan takut! Saya bukan orang jahat.” Ketenangan kembali menyimbah hati lelaki itu. Kasyi mulai perbualan antara mereka.

*** 

Bersambung. Nantikan seterusnya~