22.2.17

MENCIUM HARUM TANAH SYUHADA' (VOYA)


Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Diana turun cepat dari koster usai tambang 20 sen bertukar tangan. Lapar! Perutnya harus diisi. Dari pagi tadi, belum ada apa-apa yang ditelan. Padanlah perutnya kini merengek minta diisi. Sibuk saja berdendang lagu irama etnik kreatif dalam kelas Doktor Zaid tadi. Dia menuju ke Restoran Sya’bi.
Syiling 50 sen dia keluarkan dari dompet.

“Baid maqli wahid, ammu.”
“Masyi, sodiqah.”

Pergerakan tangan pak cik kedai itu dia perhati satu per satu. Sekeping roti diambil, dibelah tengah. Telur yang sudah siap digoreng diletak di tengah-tengah roti. Kemudian, roti tadi diletak bawah pemberat atas pemanas. Seminit berlalu, laju saja tangannya mencapai roti tadi. Kentang goreng dibubuh, diikuti dengan terung goreng, salad serta rencah bagi menambah rasa. Sos tidak dilupa. Lalu, diambil pula sehelai kertas pembungkus makanan lalu dibalut roti tadi.

“Tafadholi, sodiqah.” Pak cik kedai tersenyum. Seperti Diana juga. Duit baki dipulangkan. Inilah makanan yang selalu dia beli untuk mengalas perut apabila pulang dari universiti. Selain shawarma dan arayes yang juga termasuk dalam senarai pilihan. Diana memasukkan roti tadi dalam beg, biar kekal hangat untuk dimakan nanti. Tak sabar rasanya mahu membaham roti enak dengan gabungan beberapa elemen tadi! Cuba kau rasa, pasti kecur liur.

Diana lalu berjalan pulang ke rumah. Hari ini, jadualnya padat. Jam tiga nanti dia perlu menghadiri mesyuarat untuk program yang bakal diadakan pada hujung Disember. Alahai, sekarang sudah jam dua suku!

Laungan azan kedengaran.

Diana mempercepatkan langkah. Jangan sampai..
Ah! Seperti yang diduga, dia berselisih dengan lelaki berjubah putih, siap menuju ke Masjid Syuhada’. Lelaki itu memang selalu ke masjid waktu-waktu begini. Dia menunduk hormat. Perbuatannya sama dengan lelaki tadi. Aduh, janggalnya! Diana mengemaskan letak beg sandang yang digalasnya. Janggal sekali berselisih sebegini. Tanpa disedari, ada garis senyum pada bibirnya.

Pemuda yang hatinya tertaut dengan masjid.

Diana tersenyum lagi.

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepadamu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Ping! Ping! Ping!
Bertalu-talu nada dering berbunyi, notifikasi dari grup WhatsApp ‘Adabians Mumtaz’. Grup kawan-kawan satu jurusan. Malam ini, ada study group di rumah salah seorang teman kami. Masing-masing kecoh mencari murokib untuk ke kelas. Meskipun jarak rumah teman itu dengan rumah kami taklah begitu jauh, peraturan tetap peraturan, bukan? Para mahasiswi dikehendaki bermurokib bermula selepas Maghrib.

Aya: Ali, kau murokib aku tau malam ni!
Hani: Aku jugak
Alisy: Aku jugak
Dayah: Aku jugak
Diana pun tumpang sekaki.
Diana: Aku jugak

Copy paste. Memang itulah yang mereka selalu lakukan. Tak lama kemudian, geng-geng lelaki pulak menambah, copy paste isi yang sama.

Pian: Aku jugak
Nabil: Aku jugak
Barulah Ali datang selepas itu;
Ali: Aku murokib akhowat je. Pukul 7 turun, lambat tinggal.

Aku tergelak. Ali memang boleh dinobatkan menjadi murokib mithali. Jarang sekali permintaan untuk murokib ditolaknya. Nampaklah, dia kasih dan prihatin terhadap keselamatan para mahasiswi di bumi Mu’tah ni, kan?

Arahannya disambut dengan pelbagai reaksi dari kawan-kawan.
“garangnya Ustaz Ali,” “baik, ustaz Ali,” “takutlah nak murokib dengan Ustaz Ali lepas ni.” Masing-masing mempersendakannya. Tapi, hakikatnya inilah yang membuatkan hubungan mereka rapat. Dengan menjaga batasan syariah. Susah sama-sama, senang sama-sama.

Jurusan Bahasa Arab bukanlah jurusan yang mudah dalam kalangan pelajar Malaysia di Universiti Mu’tah. Bukan seorang yang gagal menamatkan pengajian mengikut masa yang telah ditetapkan. Maka, mereka sendiri mengambil inisiatif untuk sama-sama belajar, sama-sama graduasi dengan cemerlang.

Malam ini, mereka akan sama-sama mengulangkaji subjek Manahij Naqod. Subjek yang banyak membunuh kebanyakan pelajar-pelajar Bahasa Arab. Mereka berazam untuk sama-sama meneruskan kehidupan tanpa perlu mengulangi subjek ini lagi pada semester hadapan, sebab itulah study group ini diwujudkan.

***
“Korang jawab apa yang doktor nak je. Jangan melebih-lebih sampai tak cukup kertas. Makin panjang jawapan, makin banyaklah tanda merah,” itulah pesanan terakhir tutor sebelum kelas tamat. Sebelum beredar pulang, mereka mengambil gambar bersama-sama. Bak kata Nabil, bila lagi nak togede gede macam ni?

“Nanti semorang dah khirij, tinggal aku sorang-sorang,” ujar Muaz.
“Alah, janganlah cakap macam tu, Muaz. Kita sama-samalahh,” Diana membalas. Kawan-kawan yang lain bersetuju. Kemudian, Pian terus mengangkat kamera. Isyarat senyap dibunyikan.
“Dah dah diam diam. Jangan menangis buat drama. Say adabians mumtaz!”
Wefie.
Klik!
Diana tak habis-habis senyum. Manalah tak sayang geng Adabians Mumtaz ni.

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Kak Nita mengusap belakang Diana lembut. Memujuknya perlahan. Tapi air matanya makin laju pula mengalir.

“Pe..nat..lah kak. Dia.. tak per..nah faham. Sa..ya cuma nak.. ge..rak kerja lan..car. Tapi, dia ka..ta saya be..bel pulak,” luahan Diana tersekat sekat diselangi sedu. Kak Nita terus menerus mengusap belakangnya.

“Sya..bab me..mang tak su..ka sa..ya kot. Pas..tu ke..napa lantik..saya?” Diana nangis lagi.
Sesak sekali dadanya memikirkan gerak kerja yang sudah begitu lewat. Sepatutnya, selepas kertas kerja diterima, mereka perlu terus melaksana untuk mengelakkan perkara yang sebegini terjadi.
Banyak kali Diana mengingatkan pengarah untuk mengerah Ahli Jawatankuasa agar terus menyenaraikan tugas-tugas setiap unit. Tapi semuanya diam membisu. Sang Pengarah sibuk perkara lain. Yang AJK pula masing-masing bagai sepakat membiarkan arahan dia dibawa angin bulan November ini. Krik Krik. Tak memberikan kerjasama yang baik.

Atau sebenarnya dialah yang tidak menjadi seorang ketua yang baik?
“Ana, jom kita ziarah Mazar nak?” mata Diana berkaca-kaca. Mazar. Daerah tenang yang menyemadikan jasad-jasad para sahabat yang menemui syahid dalam Perang Mu’tah. Daerah yang selalu didatangi untuk membebat luka dalam hati. Daerah yang dia sukai tatkala berasa lemah, untuk mengutip semangat-semangat yang berlegar-legar di situ. Di daerah itu.

Diana angguk tanpa jeda. Memang sejak pulang dari Malaysia usai semester musim panas hari tu, dia belum berkesempatan menziarahi.

***
Diana dan Kak Nita memasuki Makam Abdullah bin Rawahah. Makam ini terletak agak jauh dari kawasan masjid. Disebabkan itu, makamnyalah yang paling jarang sekali diziarahi. Kali ini, mereka memilih untuk menziarahi penyair Rasulullah itu terlebih dahulu.
Al Fatihah dibacakan, menghormati sahabat itu.

Diana berdoa bersungguh-sungguh. Mendoakan sahabat, diselangi untuk diri sendiri, supaya kuat dan teguh sebagaimana sahabat ini juga. Dialah yang paling berkobar-kobar membangkitkan semangat sahabat yang lain ketika mereka lemah untuk berjihad menentang Tentera Rom.

“Aisy azizan au maut syahidan!” Bicara itulah yang menjadi aspirasi sehingga tersemadi jasadnya di tanah ini. Dan dia telah berjaya mendapat maut syahidan! Diana kemudian mendekati papan informasi yang menceritakan kisah Abdullah bin Rawahah. Ketika itulah, pengawal makam datang menghampiri.

“Kamu pelajar Mu’tah ke?” Diana angguk sebelum menjawab pertanyaan pakcik tersebut.
“Ya, saya.”
“Kamu tahu kenapa Mu’tah di panggil Mu’tah?”
“Tak tahu. Kenapa pakcik, ceritalah.” Saat itu, dia menggamit Kak Nita yang masih berdiri di sebelah makam supaya mendekatinya, ikut sama mendengar bicara yang hendak disampaikan oleh pengawal makam ini.

“Ini mitos. Aku pun tak pasti kesahihan cerita ini.” Diana dan Kak Nita faham. Lalu, pakcik tadi menyambung ceritanya. “Sewaktu hendak berperang dahulu, masing-masing menyeru, jai maut! Jai maut! (Mari menuju kesyahidan!) Dari situlah, nama Mu’tah timbul. Maut, Mu’tah.”
Mata Diana bercahaya. Tangan Kak Nita dia genggam erat.

“Aku sangat berbangga dipilih Tuhan untuk menduduki tanah ini. Tanah syahid. Jadi, sadiqah, jai maut!” Pakcik tadi menggenggam tangan, menunjukkan tanda semangat kepadanya.
Tanah barakah ini, bagai bayangan syurga. Baru saja kau terdetik perlukan semangat, datanglah peniup semangat dri segenap penjuru yang kau tak tahu. Tiba-tiba saja muncul!

“Terima kasih pakcik.” Diana mengucapkan terima kasih kepada pakcik yang berkongsi cerita dengannya. Atas semangat yang pakcik percikkan sampai berkobar-kobar rasa. Kak Nita memeluk bahu Diana.
“Macam biasalah kan?”
“Mazar tak pernah mengecewakan,” Diana sudah bisa tersenyum.
Benar, Mazar tak pernah mengecewakan dalam usaha kau menggali semangat yang hilang. Bertandanglah, kau akan mendapat ketenangan yang luar biasa.

Salam akhir
Salam yang teristimewa
Kepadanya kumemohon keampunan
Melalui-Nya kuberi kemaafan kepadamu

Post! Diana menghantar post pemberitahuan kepulangannya ke tanah air di grup Mahasiswi  Mu’tah. Macam tak percaya dia akan pulang meninggalkan tanah barakah ini. Dia menarik nafas dalam-dalam. Selepas ini, tiada lagi udara dataran syuhada’ yang akan dihirup masuk ke rongga peparunya.
Wah! Seolah-olah baru semalam, pihak Sambutan Pelajar Baru menyambut ketibaannya dan kawan-kawan di Lapangan Terbang Queen Alia. Pertama kali memasuki kelas Nusus Jahiliyah dalam keadaan kabur dan tak mengerti entah apa yang diterangkan oleh Doktor Khalil. Ah, serasanya baru semalam dia dan Kak Nita keluar makan bersama. Merasai Mansaf.

Selepas ini, tiada lagi shawarma Restoran Zumer yang enak. Zinger yang dihidang oleh pakcik ramah Restoran Petra. Pizza depan universiti. Maa’jan syukulah Pakcik Mahabbah yang penuh dengan sifat mahabbah. Nasi Mansaf yang enak Restoran Zad.

Selamat tinggal ais salji, sejuk membeku. Tiada lagi bahang musim panas yang membakar. Bunga-bungaan di peralihan musim. Ros, kekwa, jasmin. Lepas ini tiada sudah.
Diana senyum. Perasaannya bercampur baur. Adakah dia perlu menangisi bumi yang akan ditinggalkan ini, atau bergembira dengan keluarga yang bakal dijejaki?

Terima kasih, geng Adabians Mumtaz! Terima kasih kawan-kawan yang membantu sepanjang kehidupan di Mu’tah ini!
Selamat jalan, crush.
Diana tersenyum. Dia menyedut nafas dalam-dalam lagi. Menikmati. Inilah udara harum yang terserap dalam jiwa!

***
Diana mengetatkan tali pinggang keselamatan. Isyarat memasang tali pinggang tiba-tiba saja menyala ketika pesawat berada 8000 kaki di atas awan. Pesawat sedikit bergegar.  Cuaca tidak baik. Pasti pesawat berlanggar dengan awan tebal.

Diana jadi teringat pada Tanah Mu’tah. Ada beberapa kali gempa bumi kecil yang dia rasai ketika dia menghuni bumi itu. Alamak, sorang sorang pulak muka datang. Hatinya mengomel sendiri.
Satu per satu wajah temannya muncul dalam minda. Geng Adabians Mumtaz. Team yang sama-sama bekerja dalam persatuan. Diana tergelak kecil. Hatinya jadi berbunga-bunga mengenangkan ibu dan ayah yang sedang menanti di lapangan terbang. Kata ibu, ibu telah gubah sejambak bunga dengan coklat sebagai hadiah graduasinya.

Tak sabarnya nak jumpa ibu ayah! 
Hati Diana melonjak gembira. Dia memejam mata kembali. Pesawat sudah tidak bergegar seperti tadi. Isyarat memakai tali pinggang pun sudah dipadamkan. Cuma, dia membiarkan tali pinggang terpasang. Doa tidur dan syahadah dibaca. Itulah tabiat yang dia praktik sedari kecil sebelum hendak tidur.
Dengan nama Allah, aku hidup dan aku mati.

andainya aku punya waktu
masih kuingin mengulangi semula
saat indah bersamamu
sayang tak berkesempatan
abadikan saja salam ku di ingatan

Kak Nita membuka aplikasi Flight Tracker. Dia sudah berjanji untuk menjejaki pesawat yang dinaiki Diana ketika di lapangan terbang semalam. Jika dianggarkan perjalanannya, sepatutnya Diana berbaki lima jam untuk tiba di tanah air. Dia menekan nombor kod pesawat yang dinaiki Diana.
ABC123.
Error.
Berulang kali dia mencuba, tetapi usahanya tidak berjaya. Pintunya diketuk kuat tiba-tiba. Wajah Mira terpacul. Wajahnya nampak cemas.
“Kak Nita!” Pada tangannya terdapat telefon bimbit yang mengarah kepadanya.
***

Pesawat ABC123 dilaporkan terhempas pada jam 10 pagi tadi waktu tempatan. Seramai 275 anak kapal maut dalam nahas tragedi pesawat itu termasuk 6 orang atendan yang bertugas.

Salamku yang terakhir


****

TAMMAT

No comments: