3.3.14

Kisah Dinding Dan Kulat




Musim sejuk sudah berlalu. Salji sudah mencair. Hanya angin-angin sejuk yang masih bertiup. Jiji memandang dinding bilik. Berkerut[kerut dahi. Jiji lantas mengambil kain buruk, mengelap kulat-kulat yang tumbuh, membersihkan rumah itu.

Dua hari kemudiannya, kulat-kulat tumbuh lagi. Jiji jadi bengang tak sudah. Dinding yang asalnya putih berubah warna. Jiji sudah membersih berulang kali, bila kulat ini akan tidak tumbuh lagi?!

*** 

Jiji pernah berfikir untuk apa Allah ciptakan kulat. Mikroorganisma itu seolah-olah tiada faedah wujud di dunia ini. Namun, jawapan ayah pada soalan Jiji kenapa anai-anai diciptakan sangat tajam, membuatkan Jiji kembali berfikir. Kata ayah, kalau Allah tak ciptakan anai-anai, mana orang yang kerja nak bunuh anai-anai cari makan?

Jadi, pasti ada sebab mengapa Allah mencipta kulat juga. Dan ciptaanNya yang sekecil ini, seharusnya memberi ibrah kepada sesiapa yang berfikir.

Hadith Sohih yang bermaksud :

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda : Seorang hamba Allah apabila melakukan kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam, apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan.Apabila ia kembali ( berbuat maksiat ), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutup hatinya. Itulah yang diistilahkan Ar Raan yang Allah sebutkan dalam firmanNya yang bermaksud [ sekali-kali tidak,sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka]
Riwayat Tarmizi dan Ibnu Hibban

Itulah hati. 

Dinding yang putih itu ibarat fitrah hati manusia yang bersih tak ternoda. Tanpa disedari, ada kulat-kulat yang tumbuh menjadikan dinding putih tadi tercemar putih sucinya. Dan itu, Jiji samakan dengan maksiat yang kita lakukan. 

Nama insan yang asal perkataannya ialah nasiya bermaksud lupa. Nyata, kita sering terleka, teralpa dan terlupa. Kita berbuat maksiat tanpa kita sedari. Dosa dan perkara lagha kita lazimi tanpa terasa bahawa itu adalah dosa dan maksiat.

Lantas, disertakan sekali dalam hadith di atas cara untuk menyucikan hati.

“ Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan.”

 Ya. Dinding itu takkan bersih tanpa ada orang yang mengambil kain buruk lalu membersihkannya. Sama juga dengan hati kita. Hati itu takkan menjadi putih bersih seperti fitrahnya tanpa taubat dan air mata penyesalan. Maka, sucikanlah hati-hati kita dengan taubat, kembalikan hati kita kepada fitrahnya.

Namun begitu, pengalaman Jiji dengan kulat yang hidup pada dinding-dinding tidak berakhir di situ. Usai Jiji membersihkan dinding itu, dua tiga hari kemudian, kulat tumbuh lagi. Jelaslah, manusia memang tak lari dan dosa dan maksiat. Maka, jangan pernah jemu membersihkan hati kita dengan taubat dan pohon keampunan dari Yang Maha Esa.

Musim bunga menjengah. Dinding sudah tidak mengalami perpeluhan lagi. Jiji pandang dinding itu sepi. Dinding itu masih sama. Bezanya, warnanya tidak sesuci pertama kali saya memandangnya. Warnanya sudah berubah menjadi putih keruh kelabu sikit, dek kesan kulat yang tumbuh.

Hati, bagaimanakah warna engkau walaupun usai kami bertaubat meminta keampunan?

Kita lihat pada kertas putih yang kita conteng sedikit, lalu dipadam. Meskipun kotorannya hilang, kesannya tetap ada. Kalaupun kita menggunakan liquid paper, hilang! Memang kotoran tadi hilang dan kertas tadi tampak kemas. Namun, kesannya sama, masih kelihatan.

Jadi, dari pada kita berbuat maksiat dan dosa, lalu menyucikannya. Adalah lebih baik kita cuba mengelakkan diri dari melazimi dosa dan maksiat itu sendiri. Kerana kesannya mesti akan kekal ada.

Mungkin koyak kerana terlebih Clorox?
Atau luntur kerana terbanyak Vanish?
Anda mahu menjadi generasi ulul albab? Pandang alam dan berfikirlah. Ini baru kulat dan dinding.

No comments: