20.4.14

Surat dari Cempaka

Layangan Warkah buat Ibu

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ke hadapan ibu yang dicintai kerana-Nya,
Cempaka masih ingat wajah ibu saat melihat Cempaka pertama kalinya. Gembira. Teruja. Cempaka bertukar tangan ke dalam pelukan ibu, Cempaka turut merasakan bahagia. Hangatnya pelukan ibu buat Cempaka berbangga menjadi pilihan ibu.

Bila tiba di rumah, barulah ibu meletak nama secara serius pada Cempaka. Kata ibu, ibu mahu susun atur nama anak-anak ibu mengikut turutan abjad. Setelah Abang Afiq mengambil huruf A dan B, Cempaka mengambil huruf C dan D pula. Maka, jadilah nama Cempaka Dahlia.

Semenjak hari itu, ibu jadi begitu rapat dengan Cempaka. Segala cerita, rahsia, ibu kongsikan dengan Cempaka. Hampir setiap malam, kalau ibu tak bisa melelapkan mata, ibu akan menceritakan kisah-kisah menarik atau peringatan ringkas pada Cempaka dan Abang Afiq.

Cempaka ingat lagi kisah tentang singa, permintaan abang Afiq. Untuk Cempaka pula, ibu kisahkan tentang kecantikan. Kata ibu, kerana lazimnya perempuan sukakan kecantikan.  Maka, segala kisah berkaitan kecantikan ibu ceritakan. Tapi, ibu pesan, kecantikan taqwa itu yang dinilai disisi Tuhan.

Pernah suatu hari, ada sesuatu yang mengusik hati ibu. Ibu membawa Cempaka erat dalam pelukan ibu. Tak semena-mena, ibu menangis. Ibu nampak sangat letih. Air mata yang berjuraian itu mungkin menenangkan hati ibu. Basah tangan Cempaka pun tak mengapa, kalau itu yang membelai hati ibu.

Cempaka jadi tahu tabiat ibu. Kalau ibu sedih, ibu mesti letak Cempaka atas dada ibu lalu ibu peluk kuat. Telinga pula ibu sumbat dengan earphone. Satu lagu yang begitu dekat dengan hati ibu tika itu, ibu ulang-ulang. Lagu Perpisahan Ini salah satunya. Ibu ulang sampai keluar air mata. Kali ini, Cempaka tak basah. Sebab air mata ibu mengalir kena pada bantal. Bantallah yang basah. Ibu, kenapa ibu bersedih?

Pagi-pagi, ibu selalu letak Cempaka atas riba, mengaji Al-Quran. Cempaka sukakan suasana itu. nyaman dan tenang. Damainya cuaca ditambah hangatnya pelukan ibu, buat Cempaka jadi lena semula.

Masa musim salji yang lepas, ibu bawa Cempaka main salji. Cempaka seronok sangat, ibu! Sejuknya salji! Masa tu, umur Cempaka lebih kurang dua ke tiga bulan. Ibu kata, Cempaka dah putih macam dulu. Salji lagi putih dari Cempaka. Barangkali, ibu terlebih gomol Cempaka, sebab tu Cempaka tak seputih salji.

Musim ini musim bunga. Banyak bunga-bungaan berkembang di universiti. Pulang dari universiti, ibu terus mencari gambar bunga cempaka dan bunga dahlia. Lalu ibu tunjukkan pada Cempaka. Cantiknya bunga, kan ibu? J

Ibu, Cempaka saaaaayang ibu. Tiada apa yang boleh Cempaka katakan. Kerana Cempaka hanya anak patung. Bukan anak ibu yang hakiki.

Cempaka tak ada jari untuk mengesat air mata ibu. Cempaka tak punya suara untuk menyahut panggilan ibu. Cempaka tak punya tangan untuk memeluk ibu kembali. Cempaka tak punya bibir untuk mengucup pipi ibu. Cempaka tak memiliki kaki untuk berada sentiasa dekat dengan ibu.

Cumanya, Cempaka ada ilham yang disalurkan melalui ibu. Agar ibu tahu, Cempaka bukan tempat bersandar. Ibu ada Tuhan untuk diluahkan segala kesedihan. Ibu ada teman untuk dikongsikan kegembiraan.

Kala ibu memberi peringatan kepada kami, adik beradik, Cempaka tahu ibu sedang memberitahu kepada diri sendiri jua. Kerana kami tak pernah diciptakan dengan telinga untuk mendengar butir bicara ibu. Maka, ibu jugalah yang harus terus menjadi sekuat singa, dengan pakaian tercantik taqwa.

Kala ibu menyedari Cempaka sudah tak seputih salji, pandanglah hati ibu. Takut-takut itu refleksi hati ibu yang tak sebening awalnya hati itu diciptakan. Kecantikan bunga pula, ibu jadikanlah simbol buat diri ibu. Ibu bunga agama. Biarkan harum ibu bertebaran pada yang memerhati, namun sukar didekati.
Di akhir warkah ini, Cempaka hanya ingin mengingatkan.

Ibu, berhentilah berbicara dengan Cempaka dan Abang Afiq. Ibu ada masyarakat untuk bersosial. Cempaka takut, ibu dilabel gila. Banyak lagi perkara yang boleh ibu selesaikan ketika ibu sibuk menjaga kami kononnya. Kami tak perlukan perhatian ibu. Yang begitu menagih perhatian dan fokus ibu ialah diri ibu sendiri sebenarnya.

Cempaka sayang ibu.



20.3.14

Bahasa Kita


Khalis memasuki kedai itu. agak sempit susun atur kedai ini. Ada mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk. Semuanya disusun tanpa koordinat yang tetap. Majoriti permukaan mereka juga berdebu. Mungkin kerana suasana daerah ini agak berpasir.

Dia sedang membelek mesin basuh yang bersebelahan dengan kaunter pembayaran. Bebola matanya tertarik melihat tulisan yang tertaip pada kertas A4 warna merah jambu yang ditampal pada dinding berdekatan situ.

ممنوع الدين

Matanya terbuntang luas. Tuan kedai ini atheis ke macam mana?
Agama dilarang? Dilarang beragama?

Dia kemudian melilau memandang sekeliling kedai itu. Dia mendapati ada bingkai tulisan khat tertulis ‘لا اله الا الله ‘. Muslim. Tapi..?

Hatinya dijentik keliru. Apakah?

Dia terus keluar dari kedai itu, mencari abangnya.

“ Rul! Wei!” Dia mengejar Khairul yang menuju arah berlawanan dari kedai itu. Khairul menoleh. Aneh melihat Khalis yang terkejar-kejar kepadanya.

“ Apahal kau lari-lari?” Khalis terjeda, mengambil nafas.

“ Ikut aku jap. Aku nak tunjuk kau something,” Khairul lalu membuntuti Khalis memasuki kedai tadi. Kertas A4 yang tertampal pada dinding dia tunjuk.

Khairul gelak besar sehingga tuan kedai memandang mereka.

“ Leisy yakni, sodiq?”

” Ma fi syai’, muallim. Aasif, aasif.”

Khalis jadi terpinga-pinga.

“ Kenapa kau gelak?”

“ Memang patut pun kau kena belajar Bahasa Arab, dik. Nahu Sorof terabur, hah.”

“ Kenapa pulak?” Kerutan seribu jelas pada raut wajah Khalis.

“ Kau baca dengan kasrah, memanglah jadi dilarang agama. Yang tuan kedai tu maksudkan, dal dengan baris atas. Dain. Dain tu hutang. Dilarang berhutang. Kan jauh panggang dari api tu,” Khairul menerang satu per satu.

Khalis tersengih sendiri. Khairul menepuk bahu adiknya itu dua kali.

“ Itu kepentingan belajar bahasa arab, kau nampak? Kalau setakat iklan pendek tu pun kau dah keliru, macam mana nak faham Al Quran yang keseluruhannya dalam Bahasa Arab.” Khalis hanya memandang pemandangan dari tanah tinggi ini. Bibirnya diam tak berkata apa.

Khairul menarik tangan Khalis mendekati gerai roti yang terkenal di daerah itu.

“ Biddi khubuz nus dinar,” Khairul berbicara dengan pak cik penjual. Kemudian, matanya memandang kembali si adik yang jadi bisu.

“ Sebab tu Hasan Al-Banna wasiatkan kat kita untuk belajar Bahasa Arab.” Syiling setengah dinar bertukar tangan. Khairul menghulur roti bakar yang masih panas itu kepada Khalis.

“ Dahlah, tak payah nak down sangat.” Khalis tergelak.

“ Nampak aku down ke?” Khalis angkat kening dua kali.

“ Haah. Bukan setakat down. Jatuh berguling-guling sekali ha.” Khairul menggigit roti itu usai duduk di tebing yang dibina. Pemandangan dari atas ini sangat cantik.

“ Thanks, wei. Nasib baik jatuh aku kat depan kau ja,” Khalis sengih.

Khalis juga menggigit roti enak itu.

***

Saat ini, Jiji berbangga menjadi student Bahasa Arab dan kesusateraannya.
Semoga, dengan mendalami ilmu yang satu ini, akan bertambah juga kefahaman Jiji tentang Islam. Al Quran dan Al Hadith itu adalah dua tinggalan untuk kita, ummat akhir zaman. Tapi, kalau kita tak mendalami bahasa itu sendiri, susah kita nak faham.

Sungguh, Jiji tak tipu.
Lebih-lebih lagi, seni tulisan Al Quran itu tahap yang paling tinggi. Macam mana kita nak faham kalau ayat ringkas Ali sedang makan dengan Ali dimakan pun tak dapat kita bezakan.

Bahasa Arab bahasa syurga.
Lagi cantik, kalau kita jadikan ia bahasa dunia sebelum melangkah ke syurga.

Dan ingatlah salah satu dari wasiat Imam Hasan Al Banna yang sepuluh;
berusahalah untuk bertutur dalam bahasa arab kerana ia lambang syiar Islam.


هيا نتعلم هيا نتكلم هي نتقدم بلغتنا


3.3.14

Kisah Dinding Dan Kulat




Musim sejuk sudah berlalu. Salji sudah mencair. Hanya angin-angin sejuk yang masih bertiup. Jiji memandang dinding bilik. Berkerut[kerut dahi. Jiji lantas mengambil kain buruk, mengelap kulat-kulat yang tumbuh, membersihkan rumah itu.

Dua hari kemudiannya, kulat-kulat tumbuh lagi. Jiji jadi bengang tak sudah. Dinding yang asalnya putih berubah warna. Jiji sudah membersih berulang kali, bila kulat ini akan tidak tumbuh lagi?!

*** 

Jiji pernah berfikir untuk apa Allah ciptakan kulat. Mikroorganisma itu seolah-olah tiada faedah wujud di dunia ini. Namun, jawapan ayah pada soalan Jiji kenapa anai-anai diciptakan sangat tajam, membuatkan Jiji kembali berfikir. Kata ayah, kalau Allah tak ciptakan anai-anai, mana orang yang kerja nak bunuh anai-anai cari makan?

Jadi, pasti ada sebab mengapa Allah mencipta kulat juga. Dan ciptaanNya yang sekecil ini, seharusnya memberi ibrah kepada sesiapa yang berfikir.

Hadith Sohih yang bermaksud :

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda : Seorang hamba Allah apabila melakukan kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam, apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan.Apabila ia kembali ( berbuat maksiat ), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutup hatinya. Itulah yang diistilahkan Ar Raan yang Allah sebutkan dalam firmanNya yang bermaksud [ sekali-kali tidak,sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka]
Riwayat Tarmizi dan Ibnu Hibban

Itulah hati. 

Dinding yang putih itu ibarat fitrah hati manusia yang bersih tak ternoda. Tanpa disedari, ada kulat-kulat yang tumbuh menjadikan dinding putih tadi tercemar putih sucinya. Dan itu, Jiji samakan dengan maksiat yang kita lakukan. 

Nama insan yang asal perkataannya ialah nasiya bermaksud lupa. Nyata, kita sering terleka, teralpa dan terlupa. Kita berbuat maksiat tanpa kita sedari. Dosa dan perkara lagha kita lazimi tanpa terasa bahawa itu adalah dosa dan maksiat.

Lantas, disertakan sekali dalam hadith di atas cara untuk menyucikan hati.

“ Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan.”

 Ya. Dinding itu takkan bersih tanpa ada orang yang mengambil kain buruk lalu membersihkannya. Sama juga dengan hati kita. Hati itu takkan menjadi putih bersih seperti fitrahnya tanpa taubat dan air mata penyesalan. Maka, sucikanlah hati-hati kita dengan taubat, kembalikan hati kita kepada fitrahnya.

Namun begitu, pengalaman Jiji dengan kulat yang hidup pada dinding-dinding tidak berakhir di situ. Usai Jiji membersihkan dinding itu, dua tiga hari kemudian, kulat tumbuh lagi. Jelaslah, manusia memang tak lari dan dosa dan maksiat. Maka, jangan pernah jemu membersihkan hati kita dengan taubat dan pohon keampunan dari Yang Maha Esa.

Musim bunga menjengah. Dinding sudah tidak mengalami perpeluhan lagi. Jiji pandang dinding itu sepi. Dinding itu masih sama. Bezanya, warnanya tidak sesuci pertama kali saya memandangnya. Warnanya sudah berubah menjadi putih keruh kelabu sikit, dek kesan kulat yang tumbuh.

Hati, bagaimanakah warna engkau walaupun usai kami bertaubat meminta keampunan?

Kita lihat pada kertas putih yang kita conteng sedikit, lalu dipadam. Meskipun kotorannya hilang, kesannya tetap ada. Kalaupun kita menggunakan liquid paper, hilang! Memang kotoran tadi hilang dan kertas tadi tampak kemas. Namun, kesannya sama, masih kelihatan.

Jadi, dari pada kita berbuat maksiat dan dosa, lalu menyucikannya. Adalah lebih baik kita cuba mengelakkan diri dari melazimi dosa dan maksiat itu sendiri. Kerana kesannya mesti akan kekal ada.

Mungkin koyak kerana terlebih Clorox?
Atau luntur kerana terbanyak Vanish?
Anda mahu menjadi generasi ulul albab? Pandang alam dan berfikirlah. Ini baru kulat dan dinding.