26.1.14

Cerpen : Aman ( Part 2 )


Menangis.
Kalau itu jalan mudah mengurai gundah.
Tapi ia bukan penyelesai masalah.

Nah, sambungan.

***


Nama dia Buta. Dia dilahirkan dengan sihat wal afiat. Namun, sebelah matanya buta dek komplikasi ketika dia dilahirkan. Dia kini tinggal dengan abangnya. Kedua-dua ibu bapanya sudah mendahului kea lam seberang dalam kemalangan jalan raya.

Abangnya nyata tidak menyukai dia. kejelekannya terserlah bila mana Buta sering disuruh berbuat itu ini. Dia juga sering di herdik kasar oleh abangnya yang kurang penyayang itu. begitu juga dengan masyarakat sekeliling. Semua pun seolah-olah tidak menyukai dengan kekurangan yang dia punya. Apatah lagi, namanya sendiri kena dengan kekurangan fizikalnya. Dia selalu diejek oleh masyarakat terdekat.

Satu malam, Buta didatangi ibu dan bapanya dalam mimpi.

Bangkit saja dari lenanya, nafas Buta tercungap-cungap. Matanya yang sebelah digosok. Kata-kata ibu dan ayah terngiang-ngiang di telinga.

Kata ibu : “ Carilah yang celik dalam dirimu.”

Kata ayah pula : “ Butakan saja pancainderamu dari bicara mereka.”

Melalui kata-kata ayah dan ibunya itu, Buta jadi terinspirasi.

Sejak hari itu, Buta terus melaksana pelan hidupnya. Dia melakar garis hidupnya dengan begitu teliti dan tersusun. Dia bersungguh-sungguh mengejar cita-citanya tanpa mempedulikan kata-kata masyarakat sekeliling. 

Pada awalnya, hatinya benar terluka.

“ Kau buta. Orang buta nak gerak ke mana tak ada mata?!”

“ Eh Buta, tak usah bercita-cita macam orang yang celik lah!”

Provokasi masyarakat kemudiannya menjadi batu loncatan untuk dia terus bersemangat mengejar impiannya.
Dipendekkan cerita, akhirnya, Buta berjaya mencapai cita-cita yang dia idamkan. Buta kini seorang pakar mata yang hebat yang dikejar oleh seluruh pesakit mata di dunia. Namun, matanya masih buta sebelah. Dia lebih mengutamakan orang lain berbanding dirinya. Katanya, dia sudah terbiasa melihat dengan sebelah mata.

*** 

“ Kesimpulannya, mungkin memang salah babah letak nama Adik dengan Angah yang tiada maksud macam ni. Sebab, hakikatnya, perletakan nama adalah hak anak-anak. Hak Adik dan Angah. Tanggungjawab babah sememangnya terlari apabila nama Adik dengan Angah bukanlah dalam senarai nama-nama yang baik.

Tapi, jangan disalahkan babah kerana waktu lahirnya kamu berdua, Babah masih jumud di bawah pemikiran nenek moyangnya. Kamu faham kan?” Adik dan Angah mengangguk. Keturunan Babah keturunan orang asli. Memang padan dengan nama-nama mereka yang begitu asli dan klasikal.

“ Tapi, meskipun nama kamu tak ada maksud dari segi zahirnya. Jadilah macam Buta. Dari sudut pandang lahirnya, Buta membawa maksud yang buruk kan? Tapi, dari sudut batinnya, banyak maksud yang baik juga. Buta dari memandang yang buruk. Buta dari memandang yang aurat. 

Macam tu jugak dengan anak-anak ibu. Adik, kelisa. Cari kelebihan yang ada pada ikan kelisa, jadikan semangat agar Adik tak down dengan ejekan kawan-kawan. Angah, ikan jelawat pun bermanfaat tau. Apabila kita ada pendirian yang teguh, datanglah ejekan dahsyat mana pun, kita yakin, pasti ada sebab Allah izinkan nama kita tertulis sebagai itu.”

Panjang ibu berbicara. Adik dan Angah khusyuk mendengarkannya. 

“ Ibu pun mesti menghadapi masa-masa yang sukar kan?” Angah sengih. Merujuk kepada nama ibunya, Khamisah. Adik tergelak kecil. Pandangan ibu mencerun.

“ Oh, ejek ibu eh?” Adik menggeleng-geleng kepalanya. Ibu memegang bahu Adik. Kuat. Muka Adik cuak.

“ Ejeklah. Ibu ada pendirian yang teguh jugak. Kalau tak, mustahil Ibu boleh bergerak sejauh ni.” Ibu senyum. Tubuh Adik Ibu bawa dalam dakapannya. 

“ Adik, kuat ya?!” Ibu mengusap-usap belakang Adik. Angah hanya memerhati. Sebelum lahirnya Adik, dia pun pernah menangis pada Ibu, mengenangkan ejekan yang hebat dari kawan-kawannya.
Adik tersenyum. Tiada lagi air mata menghiasi matanya. Ya. 

***

Ikan kelisa atau lebih dikenali dengan Arowana merupakan ikan hiasan yang unik. Arowana adalah antara ikan yang termahal di dunia. Harganya yang mencecah ribuan ringgit. Antara jenis Arowana yang termahal di dunia ialah Arowana emas Malaysia.

Adik sengih lebar. Yay! Kalau ikan kelisa mahal. Kenapa tidak aku mahalkan juga harga diri ini.
Akhirnya Adik menjumpai hikmah tertulisnya Nurul Kelisa sebagai namanya. Terima kasih, Babah. Adik doakan Babah tenang di sana. Bisik Adik dalam hati. 

*** 
Kata Cik Neyli : Nama tak boleh pelik lagi?

Ya. Memang pelik. Tapi, dalam kita tak sedar, wujud orang-orang yang bernama pelik sebegini. Dan, nyata, hak anak yang satu itu tak tertunai. Maka, menjadi bebanlah di atas bahu ibu dan bapa untuk memberi nama-nama yang baik pada anak-anak.
Tapi, bukanlah beban sangat pun bila mana sudah wujud buku koleksi nama-nama yang baik untuk anak-anak. Kalau tak nak guna nama bahasa arab, dalam bahasa melayu pun boleh.

" Apa nama kau?"
" Zahra."

" Apa nama kau?"
" Bunga?"

Nampak macam lain. Tapi, maksudnya sama. :)

Dan, bagi anak-anak yang namanya tidak bermaksud. Jangan dipersalah ibu bapa itu. Mingkin khilaf mereka. Tapi, siapa tahu ada harapan yang  mereka selit dalam nama itu. 

Seperti contoh kisah perbualan Jiji dengan arwah atuk.

" Atuk, kenapa atuk bagi nama ayah Hata?" Ya. Jiji curious. Kerana Hata adalah huruf jar. Kan?
" Eh, Hata tu nama Naib Presiden Indonesia dulu." Atuk pun mula bercerita tentang sejarah hebatnya Hatta, si naib presiden.
Dan dari situ terserlah harapan. Supaya ayah Jiji pun sama hebat seperti naib presiden itu.

Dan mungkin juga, anda sendiri yang memandang nama itu dari sudut positif. Seperti Buta, dalam kisah yang Ibu cerita pada Angah dan Adik tu.
Maka, berbanggalah dengan nama-nama kalian.

Kerana Jiji pernah bertanya yang satu kepada mama.
Lalu dibidas oleh Along.
" Kalau nama kau bukan Haziyah, kau tak jadi macam ha, dapat hadiah bagai bagai~"
Membuatkan Jiji berfikir tentang nikmat yang Allah bagi atas diri yang bernama Haziyah ni.

Senyum. 

25.1.14

Cerpen : Aman ( Part 1 )


Bismillah.
Cuti menjengah.
Jari jemari mula dikerah.
Moga bermanfaat, insha Allah.

***



Senyap. Dia memandang dari luar jendela. 

“ Keling..keling!!” 

Kata-kata panggilan itu masih tengiang-ngiang di telinga. Itu bukan nama dia. Haruskah dia menoleh pandang, menyahut panggilan itu? Ada air mata terbit di hujung matanya. Dia kesat guna hujung lengan baju. Cuaca sekarang yang selalu hujan membawa bayu sejuk. Lalu, dia tidak rimas memakai baju lengan panjang ketika di dalam rumah.

Tok tok tok..

Pintu bilik diketuk. Dia hanya diam tak berkata apa. Dia tahu. Itu tentu.

“ Adik, Angah masuk ni.” Angah. Dia sudah tahu. Angah yang selalu perasankan kelainan tingkahnya berbanding ibu. Angah yang lebih mahu cuba mendekati dia tika dia sedang mencari identitinya tersendiri.

Angah meletak punggung disisinya. Katil yang betul-betul menghadap tingkap itu terasa sejuk sedikit. Mungkin dek tempias hujan yang tidak menentu. Dan kelaziman Adik yang memang suka membiarkan tingkap terbuka meskipun ketika hujan.

“ Kenapa, dik? Siapa kacau?” tanya Angah lembut. Adik masih tidak menjawab. Hatinya remuk redam. Jiwanya sesak. Dia tak tahu bagaimana hendak meluah.

“ Apa nama penuh Adik, Angah?” Adik mula bicara. Bertanya tentang hakikat dirinya. Angah tersengih. Dia sudah dapat meneka.

“ Nama Adik, tanya Angah pula. Nama penuh Adik, apa?” Angah memulang soalan tanpa berjawab.

“ Nurul Kelisa. Binti. Piut.” Satu per satu dia sebut. Perkataan binti sedikit keras kedengarannya.

“ Kenapa dengan binti tu?” Angah mempersoal. 

“ Sebab adik muslim. Nama Adik terang-terang tunjuk Adik binti, bukan anak perempuan. Kenapa diorang panggil Adik Keling?!” Adik meraung. Persoalan yang bermain dibenaknya terluah juga. Angah mengusap belakang Adik lembut. Dia memahami perasaan Adiknya itu. manakan tidak, dia juga kena. Bezanya, dia digelar Jerawat di sekolah.

“ Adik, cuba senyum sikit?” Angah menunduk. Cuba mencari wajah Adik yang tertutup dengan dua lengannya itu.

“ Angah, kenapa Babah bagi nama Adik macam ni?” Adik menangis lagi. Dia begitu kesal bernama Kelisa. Nama ikan! Sedangkan kawan-kawannya di sekolah, mempunyai nama yang lebih indah dan sedap didengar. Laila, Mariyah, Halina, Khairyah. Kenapa dia Kelisa?!

Angah sedikit terasa. Pertanyaan Adik seolah-olah sedang menyalahkan Babah  yang meletakkan namanya seperti itu.

“ Adik, tenang. Adik cakap macam tu, macam Adik marah kat Babah, tahu tak?!” Suara Angah sedikit tinggi. Lalu, menjemput ibu datang.

“ Kenapa bising-bising ni?” Ibu bertanya. Adik dan Angah, kedua-duanya senyap.
Pandangan ibu bersilih ganti pada Angah dan Adik. 

“ Tentang nama lagi?” Ibu meneka. Ya. Sekalipun Angah yang cepat perasan perubahan tingkahlaku Adik, sesungguhnya Ibu lebih hebat membaca hati dan minda yang dirasai Adik.

Adik angguk. Wajahnya keruh. Tiada air mata tapi hidungnya merah seolah diserangi selesema pula.

“ Angah, Adik, berlapang dadalah. Pasti ada sebab tertulis nama Angah dengan Adik macam tu.” Ibu cuba menenangkan Adik. Ibu tahu Adik pasti diejek di sekolah. Angah, ibu tak berapa kisah kerana Angah sudah besar.

“ Kenapa Ibu tak letak nama yang cantik-cantik untuk Angah dengan Adik?” Adik tanya lagi. Ibu tertunduk.

“ Adik, bukan ibu tak mahu. Cuma, kuasa veto ada di tangan babah. Macam inilah, mari, ibu ceritakan satu kisah!”

*** 

In sha Allah esok. Nantikan! :)
Dua part saja deh cerita ini. Jiji tulis dengan tawa gembira tau.

p/s: Cik Neyli pun tergelak-gelak baca. Kihkihkih :P

23.12.13

Cerpen : Winter ( Part 5 - Akhir )


Benarlah, lidah ini yang paling tajam.
Bicaraku membunuhnya.
Aku, biarkan hati terus berbicara, kerna kugusar bibir ini melukai lagi.

Teruslah membaca.
Moga bermanfaat.

***



Angin musim sejuk bertiup agak kuat. Zulaikha menarik tangannya lalu diselit dalam poket kot. Tudungnya yang sedikit cacat ditiup angin dia buat tak endah. Pepasir yang berada di hujung tangga-tangga itu lebih dia minat untuk pandang berbanding lelaki yang berada disisinya.

Bahunya disentuh lembut. Dia tak pula menolak. Hati perempuannya memang mahukan belaian itu. Dia rasa sepertinya, begitu merindukan lelaki itu.

“ Zuzu, kenapa ni sayang? Sampai bergaduh dengan Asna?” Zulaikha diam. Lembut bicara lelaki itu cuba memujuk hatinya.

“ Sayang, sayang tahu tak kenapa abang nak sangat kat sayang abang ni?” Zulaikha menggaru kepalanya perlahan. Dalam masa yang sama, dia menggeleng, menjawab pertanyaan sang suami.

“ Abang jatuh cinta dengan Zuzu sebab, abang tengok Zuzu ni sangat keras.” Eh? Zulaikha memandang lelaki itu dengan penuh tanda tanya.

“ Abang minat dengan sifat brutal Zuzu.” Jeda.

“ Kenapa pula?” Iya. Itu memang satu soalan yang perlu ditanya. 

“ Sebab orang yang macam Zuzu ni, ada prinsip tersendiri. Dan itu, yang membuatkan abang semakin minat dengan sayang.” Zulaikha menyengih. Stalker!

“ So?” Zulaikha tanya berbasa-basi.

“ Zuzu yang abang jatuh cinta dulu sangatlah berbeza. Abang kenal Zuzu dulu seorang yang kuat. Sebab tu abang buat keputusan khitbah dengan sayang abang ni. Abang percaya, Zuzu kuat untuk menghabiskan ijazah kita walaupun tak duduk dengan abang. Tapi, tak sangka, lepas nikah, Zuzu jadi lemah, perlukan abang setiap masa. Sebab, dulu Zuzu macam tak suka abang. Tiba-tiba, ”

" Abang," Zuzu menghentikan kalam lelaki itu. Zulaikha memandang Adam dalam-dalam. Apa lelaki itu sedang memerli dia? Atau iman dia sedang sakit tika ini, hinggakan dia terasa?

*** 

“ Kak Syu!!! Gatalnya!” Aku menjerit sekuat hati. Laungan aku mungkin boleh menggegarkan satu bandar kecil ini. Terkocoh-kocoh Kak Syu datang di tangannya ada botol krim yang dia beli di farmasi.

“ Hang baru tau ke hang memang gatai?” Adehh!

“ Akak, tak payah bebel dah. Orang terseksa ni, gatal tak boleh menggaru.” Aku menendang-nendang kakiku kerana tak tahan akan kegatalan yang kurasai. Pesan senior, jangan digaru, bimbang nanti lebih teruk jadinya.

“ Sejak bila, gatai hang tu boleh digaru. Ubat gatai hang tu nikah je,” Aku gigit bibir. Macam-macamlah pulak bebel akak ni. Aku menggenggam buku lima, menarik-narik sweater yang tersarung pada badan. Gatal dan geli jadi bercampur.

Kak Syu memang baik. Dia yang sapukan ubat itu pada kakiku. Dia sangat mengerti, kalau aku yang menyapu ubat itu, pasti aku akan menggaru dalam diam. See! Caring sangat kan akak ni. Moh moh, isi borang siapa nak dia. Ceit!

“ Dah, kak. Dah. Geli.” Kak Syu berhenti meratakan ubat itu pada kaki. 

“ Gatalnya!!!” Aku menjerit lagi. Walaupun menjerit itu bukan jalan pantas untuk menghilangkan kegatalan, namun, aku menyukainya! Sengih tayang gigi.

“ Ha, hang ingat kalau hang jerit, mak hang dengar nak tolong garukan tuk hang?” Bebel lagi.

“ Ok kak, ok. Orang nak sambung buat kerja ni. Dah ok sikit ni. Thanks, akak cantik.”

“ Tak payah puji, aku tahu aku cantik,” Kak Syu bicara sendiri lalu keluar dari bilikku. Tengoklah tu. Tak habis berangan. Hahah.
 
Aku kembali menulis. Ups, menaip.

*** 

“ Prinsip sayang apa dulu? Tetap menjadi muslimah dengan tambahan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kan? Jangan sebab ada abang, Zuzu jadi terlupa tanggungjawab Zuzu sebagai sahabat. Rasulullah tak mengaku umat orang yang memutuskan silaturrahim,”

Pujukan Adam mencairkan hatinya serba sedikit. Ya. Dia sedar, dia yang salah. Dia terlalu memikirkan rindu dendamnya pada sang suami. Sehingga terlupa akan kata-kata yang meluncur laju dari mulut ini mengguris hati sang sahabat yang sentiasa disisi.

“ Sayang, runtuhkan ego tu sikit. Jangan buat semua ini sebab abang. Do for the sake of Allah, dear. Rawat iman, ubati ukhuwah itu.”  Dagu gadisnya itu disentuh lembut.

Zulaikha tertunduk. Air matanya menitis tak terduga.
Asna.

 ***
 
Kawan, bertahun kita bersama
Bagai semalam baru bersua
Kawan, dihadapan oh indahnya
Kita bersama berkelana

Namun kita jauh
Didunia sendiri, bekalan sendiri
Impian sendiri bersama
Asna, i just want to say sorry. Ya, my mistake.
Kita kongsi impian yang sama. Untuk ke syurga itu jua. Pimpin tangan aku balik, eh?
-zulaikha

Zulaikha mengintai Asna dari celah pintu yang terbuka. Ada senyum yang terbit di bibir gadis itu. Hatinya melonjak gembira. Pasti, rajuk Asna tak lama. Perlahan-lahan, daun pintu dia tolak.

“ Asna?”

Pantas, Asna meluru memeluk Zulaikha. Tiada bicara. Hanya tangis yang bersuara.

“ Aku mintak maaf, ok? Aku ego.” Asna memula bicara setelah jeda lama. Pelukan terlerai.

“ Apa kau cakap tu? Aku yang emosi. Iman aku tengah menurun kot. Sebab tu kau jadi mangsanya. Maaf, sahabat.” Zulaikha bicara sambil menyeka air mata. Tangannya menghulur sekeping gambar.

Gambar itu bertukar tangan. Gambar ketika mereka bermain salji seminggu yang lepas. Sengih. Asna membaca quote yang berada di belakang gambar.

Winter : Membekukan ukhuwah kita sampai ke syurga <3>

Touching. Juga pelukan kemas menghangatkan.

*** 

 “ Zu, aku dah habis tulis. Aku dah post kat blog. Nanti kau baca, ok?” Zulaikha yang sedang fokus membaca menoleh pandang kepadaku. Buku itu terus dia tutup. Dah tak dapat fokus membacalah tu.

“ Aku baca sekarang,” dia bergegas menaip URL blogku. Aku lihat matanya fokus kepada skrin komputer. Sambil memerhati, aku tersengih. 

 “ Min, kau tulis apa tu?!!” Ya, aku sudah menjangkakan yang ini. Ahaks!

“ Lah, aku ingat kau dah baca?” Aku sengih keji.

“ Kau memang jahat kan, saja nak kenakan aku!” Dia menarik hood sweaterku. Buku lima dia tayang dihadapan mukaku. Ya, Zulaikha yang itu aku maksudkan itu dia. Dan Adam, uhuk, watak penampah perasa dalam sesuatu masakan. Dan Asna itu aku. Asna Azmina. 

“ Zuzu, sebab ini musim bunga, kau tahu, hati aku berbunga-bunga post cerita tu kat blog,” 

“ Kau memang jiwang tahap karat. Musim panas nanti baru aku cair dengan kata-kata manis kau eh?”

Sengih. Hakikatnya, ini harapan. Yang cuba aku sampaikan melalui cerita. Keluarga. Suami. Anak-anak. Itu semua watak dalam kehidupan. Dan, sahabat salah satu daripadanya. Sahabat bukan watak utama, bukan juga watak kedua, ia cuma watak. Yang membantu pencorakan kanvas kehidupan. Sekalipun dia tidak bersama kita suatu hari nanti, warna yang telah tercorak atas kertas lukisan ini akan tetap kekal selamanya.

Jam pada komputer riba sudah menunjukkan pukul 5.10 AM. Lagu Senandung Pujian dendangan Hijjaz pun sudah hampir tamat. Aku pun mahu masuk tidur lalu aku meletakkan noktah terakhir pada cerita ini.

Winter, membekukan ukhuwah ini sampai ke syurga.

“ Kalau musim panas, cairlah ye?”

Shh, jangan banyak tanya. Kan aku sudah mahu meletak titik noktah ni.

*** 
 
Tamat.
Iya sih, maaf sih, Jiji tahu cerita tidak enak sih. 
Lepas ni, mungkin ada idea yang lebih menarik supaya kisah seperti ' Aku Kan Ada' akan terhasil sekali lagi.
Moh moh, like page Jiji. Haha. :P
Selamat berukhuwah semua <3 nbsp="" p="">
Sila sila, tinggalkan komen dan kritikan membina. ^^